Malaysia Oversight

Khaled lancar program Sekolah Angkat Madani Mindef

By Utusan in November 10, 2025 – Reading time 2 minute
Khaled lancar program Sekolah Angkat Madani Mindef


KOTA TINGGI: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menyempurnakan majlis pelancaran Sekolah Angkat MADANI kementerian itu bagi tahun 2025 di Sekolah Kebangsaan Gembut, di sini. hari ini.

Pelancaran itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkukuhkan inisiatif Whole of Government, yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan kementerian dalam memperbaiki sistem pendidikan di negara ini.

Sekolah Angkat MADANI merupakan sebahagian daripada program yang dikelolakan oleh Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) dengan kerjasama Kementerian Kewangan.

SK Gembut telah dipilih bagi menerima bantuan dana sebanyak RM100,000 untuk menaik taraf kemudahan sekolah, terutamanya ruang kantin yang kini telah diperbesar dan dipertingkatkan untuk memberikan keselesaan kepada para pelajar.

Kerja-kerja naik taraf ini telah dimulakan pada 1 September yang lalu.

Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kualiti kehidupan pelajar di sekolah dengan memberi tumpuan kepada persekitaran pembelajaran yang lebih baik dan kondusif.

Menteri Pertahanan dalam ucapannya, menyatakan program itu bukan sahaja untuk meningkatkan infrastruktur sekolah tetapi juga bagi memberi manfaat jangka panjang kepada generasi akan datang.

Katanya, Inisiatif Sekolah MADANI ini menunjukkan komitmen untuk terus memperkasa sistem pendidikan negara melalui sokongan yang lebih besar daripada pelbagai agensi , terutamanya bagi sekolah-sekolah luar bandar yang memerlukan perhatian lebih dalam aspek pembangunan fizikal dan pendidikan. – UTUSAN





Source link