Operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand di Langkawi menemukan lima lagi mayat pada hari ini, menjadikan jumlah mangsa yang maut kepada 12 orang, manakala 13 yang lain selamat.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata penemuan pertama membabitkan mayat seorang kanak-kanak lelaki yang ditemukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira dua batu nautika barat daya Tanjung Belua pada jam 12.47 tengah hari.
“Beberapa minit kemudian, aset milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula menemukan mayat seorang lelaki dewasa terapung di laut. Ia kemudian dibawa ke jeti APMM dan diserahkan kepada pihak polis.
“Tidak lama selepas itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan penemuan mayat seorang wanita kira-kira tiga batu nautika di barat laut Pulau Rebak Besar, sebelum dibawa ke jeti Harbour Park,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Romli pada jam 3.31 petang, kapak KD Ledang milik TLDM menemukan satu lagi mayat wanita, manakala bot pasukan polis marin menjumpai mayat lelaki terapung sebelum dibawa ke jeti Harbour Park untuk tindakan lanjut.
Sektor pencarian kini, katanya, diperluas kepada 255.66 batu nautika persegi, melibatkan pelbagai aset laut dan udara daripada APMM, TLDM, polis marin, JBPM dan APM.
Terdahulu, Romli berkata pihaknya dimaklumkan bahawa Thailand turut menemukan enam mayat di perairan negara itu semalam.
Operasi hari ini ditangguhkan pada jam 7.30 malam berikutan cuaca gelap serta laut bergelora, dan akan disambung pagi esok.
– Bernama






