100 Lori Elektrik Beroperasi Secara Swapandu Di Lombong Menggunakan Teknologi 5G Huawei
May 20, 2025
•
Effi Saharudin
Teknologi swapandu dan 5G-Advanced Huawei telah digabungkan dengan 100 lori Huaneng Ruichi untuk melakukan operasi perlombongan di Mongolia, China. Ini adalah kali pertama teknologi swapandu dan 5G-A digunakan di dunia untuk melakukan operasi pada skala besar serta di dunia sebenar.

Penggunaan teknologi ini bagi menyambut sahutan kerajaan China yang ingin meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik yang lebih selamat, pintar dan menjadikan operasi lombong lebih hijau. Setiap lori Huaneng Ruichi boleh membawa sehingga 90 tan metrik muatan dengan kecekapan 120% berbanding pemandu lori manusia.

Huawei Cloud membekalkan teknologi Commercial Vehicle Autonomous Driving Cloud Service (CVADCS) yang membolehkan pemetaan laluan di dalam lombong dilakukan secara masa nyata. Ini menurut Huawei meningkatkan optimasi laluan, mengurangkan tempoh menunggu dan meningkatkan kecekapan operasi.
Teknologi 5G-A Huawei membolehkan kelajuan muat naik data sehingga 500 Mbps dengan masa pendam 20 ms. Huawei mengatakan kelak teknologi ini akan dipertingkatkan bagi membolehkan sehingga 300 kenderaan swapandu dipantau serentak 24 jam sehari.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.