Malaysia Oversight

TMJ kecewa dikait kes Faisal Halim, ‘skinhead pukul punk’

By MkiniBM in May 20, 2025 – Reading time 2 minute
TMJ kecewa dikait kes Faisal Halim, 'skinhead pukul punk'


Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini sekali lagi menegaskan baginda tidak mempunyai sebarang kaitan dengan serangan asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Abdul Halim.

Tunku Ismail meluahkan rasa kecewa terhadap cubaan pihak tertentu mengaitkan dirinya dengan pelbagai insiden negatif yang berlaku di negara ini.

Ini termasuk kejadian serangan di sebuah acara persembahan punk tempatan di Johor Bahru baru-baru ini, yang menyaksikan vokalis sebuah kumpulan muzik cedera selepas dipukul sekumpulan lelaki.

“Baru-baru ini juga ada berlaku kes pukul di sebuah konsert tempatan. Seperti biasa, ada yang cuba kaitkan insiden itu dengan saya. Konsert punk tempatan, pula tu. Adakah muka saya kelihatan seperti orang yang habiskan masa dengan ‘headbanging’ di gig punk underground?

Dan seperti biasa, dalam insiden Faisal Halim, timbul pula bisikan dan spekulasi yang cuba kaitkan saya. Biar saya jelaskan, saya dan JDT tidak perlu turunkan diri ke tahap serendah itu. Saya ini seorang askar, kalau saya ada sesuatu untuk disampaikan atau dilakukan, saya tidak akan bersembunyi di sebalik tindakan pengecut seperti itu.

Nampaknya, apa sahaja yang berlaku mesti dikaitkan dengan saya. Menarik, bukan,” titah Tunku Ismail melalui Facebook HRH Crown Prince of Johor.

Dalam kejadian pada 5 Mei tahun lalu, Faisal cedera parah selepas disimbah asid di luar sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang.

Serangan itu mengakibatkan Faisal mengalami luka melecur tahap keempat dan terpaksa menjalani empat pembedahan.

Susulan kejadian itu, Tunku Ismail secara terbuka menafikan dakwaan yang cuba mengaitkan baginda dengan jenayah tersebut.

Sementara itu, Tunku Ismail percaya para pengkritiknya sebenarnya tidak senang dengan pengaruh yang semakin meningkat dimilikinya.

“Saya rasa masalah sebenar di sini, saya rasa, bukan apa yang saya telah lakukan, tetapi hakikat bahawa saya mampu melakukannya.

“Pengaruh, dalam kedudukan saya, bukan satu pilihan, ia satu ketetapan. Dan semakin masa berlalu, semakin ia bertambah kuat.

“Jadi ini nasihat saya dengan rendah hati: belajarlah untuk terima… atau cubalah habiskan saya terus.

“Sebab saya tidak akan ke mana-mana. Saya di sini untuk berkhidmat kepada negeri saya dan Memartabatkannya,” titahnya lagi.



Source link