DUN KELANTAN | Kerajaan negeri merancang melaksanakan program e-Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan secara percuma untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat, berkata inisiatif itu adalah sebahagian komitmen kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.
Katanya kerajaan negeri telah menjalankan program percubaan secara dalam talian dengan kerjasama Telekom Malaysia dengan membabitkan penyertaan 1,896 pelajar.
“Menerusi e-tuisyen ini, calon akan diberikan panduan format menjawab peperiksaan SPM merangkumi semua mata pelajaran. Bagi percubaan tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM100,000.
“Tahun depan, kerajaan negeri berhasrat mengembangkan inisiatif ini dengan menyediakan format pembelajaran yang lebih baik melalui khidmat guru pakar, sekali gus membolehkan semua calon SPM di seluruh Kelantan mengikuti tuisyen dalam talian secara percuma,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Dia berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nor Asilah Mohamed Zin (PAS-Limbongan) mengenai kos dan manfaat pelaksanaan inisiatif tersebut.
Wan Roslan berkata keputusan untuk memperkenalkan e-tuisyen adalah susulan kejayaan program Tuisyen Rakyat Sejahtera yang dilaksanakan pada tahun lalu dan memberi impak positif kepada pencapaian SPM.
Katanya program itu memberi tumpuan kepada empat subjek teras dengan penyertaan 1,495 pelajar pada 2024, membabitkan peruntukan RM477,000.
“Keputusan SPM di Kelantan menunjukkan peningkatan kepada 95.99 peratus pada 2024 berbanding 95.08 peratus pada 2023.
“Justeru, kita perluaskan lagi inisiatif ini membabitkan 2,604 pelajar pada tahun ini.
“Kerajaan negeri juga tidak menolak kemungkinan untuk meluaskan inisiatif tuisyen ini kepada calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan lain pada masa akan datang bagi memastikan mereka mendapat akses pembelajaran tambahan yang berkualiti,” katanya.
– Bernama






