Malaysia Oversight

Polis akan buka semula kertas siasatan, tunjuk keberadaan Pastor Koh

By MkiniBM in November 10, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Polis akan membuka semula kertas siasatan berhubung kehilangan paksa Pastor Raymond Koh, susulan keputusan mahkamah yang menuntut dan pasukan polis bertanggungjawab atas kejadian itu.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan langkah itu merupakan pelaksanaan terhadap perintah mahkamah yang mengarahkan agar siasatan diteruskan dan keberadaan Koh dikemukakan.

“Mulai sekarang, ia dalam lingkungan tanggungjawab saya untuk memastikan pelaksanaan keputusan mahkamah, terutamanya kerana mahkamah telah mengarahkan pihak polis untuk membuka kembali siasatan atau meneruskan siasatan, dan yang kedua, mengemukakan Pastor Koh, tunjukkan kewujudan serta keberadaan beliau,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia (WDAT) 2025 di , hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terbaharu berhubung keputusan mahkamah dalam kes kehilangan Pastor Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat.

Saifuddin menjelaskan meskipun kes itu merupakan legasi yang diwarisinya namun ia tidak akan menjadikan alasan untuk dia berdiam diri.

“Faktanya tak berubah — ini legasi yang saya warisi. Tapi itu bukan alasan. Sebab itu saya perlu dapat gambaran yang lebih dekat tentangnya,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan akan mengemukakan rayuan, Saifuddin menegaskan bahawa perkara itu berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Saya fikir secara logiknya, saya tidak boleh bercakap bagi pihak AGC. Itu bidang kuasa mereka,” ujarnya.

Saifuddin turut mengimbas kronologi tindakan terdahulu , termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang mengesahkan wujudnya elemen kehilangan paksa (forced disappearance) dalam kes Koh, serta pembentukan pasukan petugas khas pada 2019.

Menurutnya, laporan pasukan petugas khas itu telah diserahkan kepada isteri Amri Che Mat, selepas Mahkamah Tinggi mengarahkan supaya dokumen berkenaan diberikan bagi tujuan tindakan undang-undang.

“Mahkamah Tinggi telah memutuskan laporan itu diserahkan kepada isteri Amri, dan walaupun ada rayuan oleh pihak Peguam Negara ketika itu, rayuan itu tidak diteruskan,” jelasnya.

Kata Saifuddin, fokusnya kini memastikan segala arahan mahkamah yang secara khusus melibatkan polis dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Itu yang saya sedang usahakan bersama ketua polis negara,” tambahnya.

Pada Rabu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Su Tiang Joo memutuskan bahawa polis dan kerajaan bertanggungjawab atas kehilangan Koh dan Amri.

Mahkamah turut menganugerahkan isteri Amri, Norhayati Ariffin, pampasan berjumlah RM3 juta, terdiri daripada RM2 juta bagi ganti rugi am dan RM1 juta ganti rugi teladan, selain bayaran RM14,457.52 sebagai ganti rugi khas serta RM250,000 bagi kos mahkamah.

Secara berasingan, mahkamah juga memerintahkan kerajaan membayar RM10,000 sehari kepada Koh melalui akaun amanah sehingga dia ditemui semula. Bayaran itu dikira bermula pada 13 Feb 2017, tarikh Koh diculik, dengan jumlah keseluruhan kini dianggarkan RM31.9 juta.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan kerajaan membayar RM4 juta sebagai ganti rugi, RM1 juta bagi kelewatan berpanjangan dalam usaha mencari Koh, dan RM1 juta lagi atas tindakan tidak berperlembagaan oleh pihak defendan.

Dalam kedua-dua kes, mahkamah turut mengarahkan polis membuka semula siasatan dan menyerahkan laporan perkembangan kepada peguam negara setiap dua bulan.

[Laporan penuh menyusul]



Source link