PARLIMEN | Isu dakwaan kontroversi seorang ahli akademik yang orang Rom belajar membuat kapal daripada orang Melayu sampai ke Dewan Rakyat hari ini, ketika anggota Parlimen (MP) meneruskan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026.
Sekurang-kurangnya dua MP kerajaan menggesa Kementerian Perpaduan menangani apa yang disifatkan sebagai manipulasi fakta sejarah, manakala seorang MP pembangkang menggesa kementerian menerima pandangan itu dan menyokong kajian lanjut berhubungnya.
Shamshulkahar Deli (BN-Jempol) berkata isu itu telah mencetuskan kontroversi di kalangan rakyat Malaysia dan menjadi jenaka di media sosial.
“Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pelbagai kenyataan, contohnya (dakwaan) orang Rom datang ke Alam Melayu untuk belajar membuat kapal, dan pelbagai dakwaan lain.
“Isu ini telah menimbulkan polemik di kalangan masyarakat kita, saya kurang senang bila isu sejarah jadi bahan gurauan dan jenaka di media sosial.

“Setiap kenyataan atau dakwaan yang menyentuh tokoh (sejarah) dan tamadun bangsa perlu disokong oleh bukti kukuh serta kajian akademik teliti,” katanya ketika perbahasan peringkat jawatankuasa RUU Perbekalan 2026 hari ini.
Shamshulkahar kemudian bertanya kepada Menteri Perpaduan jika Majlis Sejarawan Negara yang baru ditubuhkan ada sebarang rancangan berkaitan isu seupama itu.
Dia merujuk dakwaan yang dibuat Pensyarah bahasa Arab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Solehah Yaacob baru-bari ini.
Sementara itu, Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengecam ahli akedmik itu, dengan berkata fakta sejarah tidak boleh terbina daripada mitos atau fantasi.

Menurutnya, Solehah telah ditegur oleh sejarawan lain sebelum ini selepas dia mendakwa orang Melayu yang mengajar kungfu kepada orang Cina.
“Ramai sejarawan tegur perkara itu sebagai penyelewengan sejarah yang tidak berasas.
“Fakta sejarah harus bersandarkan bukti sahih, bukan mitos atau fantasi. Apabila sejarah dijadikan bahan propaganda, ia bukan saja memperbodohkan masyarakat tetapi juga memecahbelahkan rakyat.
“Kita harus mendidik rakyat agar tahu (perbezaan antara) sejarah yang disahkan dengan sejarah yang direka. Tugas kementerian bukan sahaja menjaga (mengadakan) program tetapi menjaga sejarah daripada diputar menjadi racun sosial,” kata Syerleena.

Sementara itu, Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mempertahankan Solehah.
Katanya, malang apabila ada yang memiliki sikap rendah diri berhubung warisan mereka.
“Ini sikap yang tak sepatutnya ada pada kita. Kita perlu berbangga dengan warisan kita yang hebat. Contohnya tapak arkeologi Sungai Batu menjadi bukti (kegiatan) peleburan besi zaman dahulu kala.
“Oleh itu, saya berpandangan kementerian boleh menyambut pendedahan ahli akademik dengan memberi sokongan dan dukungan bagi (dia) meneruskan kajian secara ilmiah.
“Selain itu, peruntukan bagi kajian mestilah ditingkatkan agar lebih banyak warisan bangsa dapat digali dan diangkat oleh ahli akademik, jabatan muzium dan pihak berkepentingan,” katanya lagi.






