Malaysia Oversight

Prof Solehah tetap pertahan dakwaan Rom belajar buat kapal dari Melayu

By MkiniBM in November 10, 2025 – Reading time 2 minute
Prof Solehah tetap pertahan dakwaan Rom belajar buat kapal dari Melayu


Pensyarah bahasa Arab Universiti Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Solehah Yaacob tetap mempertahankan dakwaannya bahawa orang Rom belajar membuat kapal daripada orang Melayu.

Dalam kenyataan semalam, Solehah turut membidas cemuhan yang diterimanya susulan dakwaan tersebut.

Menurutnya, dakwaan itu dibuat hasil kajian yang mendalam.

“Menurut kajian saya, saya yakin pelayaran maritim besar pertama dalam sejarah manusia berlaku ketika zaman Nabi Nuh, pelayaran yang merentasi wilayah yang besar di dunia.

“Ahli teologi British, Thomas Brightwell berpendirian yang orang Melayu adalah satu kaum tersendiri yang muncul selepas banjir besar zaman Nabi Nuh, dan kelompok ini mungkin antara pelaut terawal,” katanya.

Selain Brightwell, Solehah berkata hipotesisnya turut disokong oleh rujukan dalam hasli kerja Richard L. Smith dan Pierre-Yves Manguin.

Dia juga mendakwa orang Rom tidak melakukan pelayaran yang canggih sehingga selepas tahun 31 sebelum Masihi.

Bagi mengukuhkan dakwaannya, Solehah mengaitkan usaha orang Rom mencari besi bermutu dengan teks bahasa Arab yang menurutnya menyatakan besi seumpama itu ditemui di al-Qal’a, atau Kedah Tua.

Solehah bagaimanapun mengakui dia tidak tahu bagaimana sebenarnya pemindahan teknologi antara orang Melayu dan orang Rom boleh berlaku.

“Sementara sukar untuk menentukan bagaimana sebenarnya teknologi maritim Melayu sampai kepada orang Rom, pemindahan teknologi seumpama itu memerlukan pelayaran merentas lautan luas.

“Namun, apa yang kita tahu adalah mutu balak di Eropah pada masa itu tidak sesuai untuk pelayaran jarak jauh, yang mungkin mendorong orang Rom untuk mendapatkan pelaut berpengalaman dari Mesir, dan mungkin dari dunia Melayu atau India, yang dapat memberi panduan kepada mereka menuju sumber besi al-Qal’a.

Walaupun Solehah memetik pelbagai sumber untuk menyokong dakwaannya, ketelitian akademiknya dalam menilai sumber-sumber tersebut telah dipersoalkan.

Pada Ahad lalu, seorang pengguna laman Reddit membangkitkan dalam sebuah kertas kajian pada 2018, Solehah telah memetik laman satira, The Onion sebagai fakta. 

Solehah memetik artikel di laman itu yang mendakwa kononnya sekumpulan ahli sejarah mendakwa mereka telah mereka-reka tentang “Yunani purba”.

Kertas kajian itu diterbitkan dalam jurnal Universiti Malaya, Jurnal Al-Tamaddun.

Malaysiakini tiada akses kepada sumber yang dipetik Solehah dan tidak dapat secara bebas mengesahkan dakwaannya.

Sementara itu, kalangan peminat sejarah pantas menegaskan bahawa sejarah maritim Rom direkodkan dengan jelas melalui catatan sejarah, mozek dan bangkai kapal.

Dona Amanda, seorang pempengaruh media sosial yang memberi tumpuan kepada sejarah, menyorot perbezaan ketara antara reka bentuk kapal Rom dan Melayu — dengan kapal Rom digerakkan dengan kayuhan dan berbentuk tirus agar lebih laju dan untuk melanggar kapal lain, manakala kapal Melayu lebih lebar dan dibina untuk kestabilan di laut lepas.

Selain itu, kapal Melayu menggunakan teknik sambungan kayu secara “berjahit”, manakala kapal Rom menggunakan teknik sambungan mortise dan tenon.

UIAM sebelum ini menyifatkan dakwaan Solehah mengenai pertukaran teknologi perkapalan Rom-Melayu itu sebagai “mengelirukan”.



Source link