PAS Wilayah Persekutuan menyeru rakyat Malaysia untuk hadir ke himpunan anti-rasuah yang dijadualkan berlangsung di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jumaat ini, sebagai tanda sokongan terhadap pemberi maklumat dalam skandal rasuah Sabah, Albert Tei.
Dalam kenyatannya, PAS Wilayah Persekutuan juga menyeru warga Sabah yang berada di Semenanjung, agar bersama dalam perhimpunan aman “Tangkap Jerung” itu.
“Rakyat mesti bangkit menyampaikan mesej jelas kepada pihak berkuasa bahawa kita menolak layanan berat sebelah dalam siasatan, dan menentang politik kotor dalam pelaksanaan undang-undang,” menurut kenyataan parti itu yang dimuat naik di Facebook malam tadi.
Parti Islam itu turut memuji keberanian Albert Tei dan menegaskan usaha memerangi rasuah adalah “jihad besar” dalam zaman moden kerana melibatkan usaha mempertahankan amanah, maruah dan keadilan sosial.
“Saudara Albert Tei, seorang rakyat Malaysia berbangsa Cina, telah menunjukkan jiwa keberanian dan integriti yang tinggi apabila sanggup mengabaikan keselamatan diri demi membongkar amalan kotor dan salah guna kuasa dalam pemerintahan.
“Keberanian beliau adalah lambang tanggungjawab moral dan kemanusiaan yang sepatutnya menjadi contoh kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama,” tambahnya.

Mereka juga menggesa semua pihak termasuk “VVIP” yang terlibat dalam skandal itu ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan tanpa pilih kasih.
Tangkap ‘jerung’
Terdahulu, aktivis politik, Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga, mengumumkan penganjuran himpunan Jumaat ini sebagai bantahan terhadap tindakan pihak berkuasa yang hanya mendakwa “ikan bilis”, manakala “jerung-jerung besar” dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih bebas.
Albert turut menyokong protes itu dan mengesahkan kehadirannya, sambil menggesa kerajaan menangkap serta mendakwa “jerung” lain yang terlibat dalam skandal tersebut.
Sejak siri pendedahan video bermula November tahun lalu, sekumpulan ahli politik — termasuk anggota kanan kabinet negeri — dikaitkan dengan skandal perlombongan berkenaan.
Namun, setakat ini hanya tiga individu telah didakwa, iaitu Albert Tei, Andi Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Yusof Yacob (Sindumin).
Albert didakwa menawarkan rasuah kepada ahli-ahli dewan undangan negeri, manakala dua lagi didakwa menerima sogokan berkenaan.
Pembangkang mendakwa wujud usaha untuk menutup kes itu dan sikap “double standard” kerajaan berhubung kegagalan SPRM bertindak ke atas pemimpin tertinggi Sabah yang turut terlibat.
Albert juga mendakwa dia ditekan oleh pihak tertentu termasuk disekat daripada memasuki negeri itu oleh pihak imigresen Sabah.
Klip terbaru yang menggemparkan
Dalam perkembangan terkini, satu video yang dimuat naik pada 8 Nov lalu mengaitkan Timbalan Presiden Parti Star, Robert Tawik. Ia memaparkan perbualan antara Albert dan Tawik di pejabatnya yang membincangkan sejumlah wang yang didakwa telah diserahkan kepada ahli politik berkenaan.

Berdasarkan klip video tersebut, Tawik turut menyebut beberapa ahli politik lain termasuk Timbalan Presiden Star, Ellron Angin, Ketua Menteri sementara Sabah, Hajiji Noor, dan Menteri Kerja Raya sementara Sabah, Shahelmey Yahya.
Video terbaru ini muncul kurang sebulan sebelum pilihan raya negeri Sabah yang dijadual berlangsung pada 29 Nov.
Sebelum ini, Tawik antara ahli politik yang disebut dalam pendedahan oleh sumber yang kemudian dikenal pasti sebagai Albert, yang menyerahkan tangkap layar video kepada Malaysiakini melibatkan enam pemimpin yang dituduh.
Malaysiakini turut diperlihatkan sedutan ringkas rakaman tersebut bertarikh Januari 2024, namun tidak dibenarkan menyiarkannya.
Sumber itu mendakwa jumlah keseluruhan rasuah melibatkan enam ahli politik tersebut mencecah RM3.96 juta.






