Malaysia Oversight

Kebanyakan mangsa letupan sekolah di Jakarta hilang pendengaran

By Utusan in November 10, 2025 – Reading time 2 minute
Kebanyakan mangsa letupan sekolah di Jakarta hilang pendengaran


JAKARTA: Doktor mengesahkan kebanyakan mangsa letupan di Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 72 Jakarta minggu lalu, mengalami kehilangan pendengaran.

Hospital Jakarta menerima 43 mangsa susulan insiden tersebut, dengan 13 masih dirawat termasuk dua di unit rawatan rapi (ICU).

Pengarah hospital, Pradono Handojo berkata, dua daripada tiga mangsa yang dirawat mengalami gangguan pendengaran.

“Kami percaya mangsa akan pulih secara fizikal dengan cepat memandangkan mereka masih muda, kecuali dari segi pendengaran.

“Lebih dua pertiga daripada mereka mengalami masalah pendengaran,” kata Pradono.

Beliau berkata, selain pemulihan fizikal, kaunseling psikologi adalah penting untuk mencegah trauma jangka panjang dalam kalangan pelajar.

Menteri Hal Ehwal Sosial, Syaifullah Yusuf, semasa melawat hospital semalam mengumumkan menyediakan terapi pemulihan trauma untuk pelajar yang terjejas.

“Terapi pemulihan trauma akan dijalankan di hospital, sekolah dan rumah pelajar,” katanya sambil menambah usaha itu akan melibatkan Polis Negara, Kementerian Hal Ehwal Sosial dan Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia.

Siasatan awal polis mendapati letupan berlaku semasa solat Jumaat dan dicetuskan oleh seorang pelajar yang sebelum ini menjadi mangsa buli.

Suspek, yang turut cedera, menjalani pembedahan di bawah pengawasan polis.

Memandangkan suspek masih di bawah umur, polis tidak mendedahkan identitinya dan menggesa orang ramai supaya berhenti membuat spekulasi sementara siasatan diteruskan.

Pihak berkuasa juga menjelaskan, dua senjata yang ditemukan di lokasi kejadian adalah senjata mainan.- AGENSI





Source link