Malaysia Oversight

Ali, Abang Gad bangkitkan nostalgia di Konsert Metalkestra XPDC

By MkiniBM in November 10, 2025 – Reading time 2 minute
Ali, Abang Gad bangkitkan nostalgia di Konsert Metalkestra XPDC


Zepp Kuala Lumpur bergema dengan petikan gitar, cahaya pentas dan sorakan peminat mengiringi XPDC kembali ke pentas besar melalui konsert Metalkestra Sabtu malam, menyatukan elemen rock dan orkestra dalam persembahan lebih dua jam di dewan yang padat dengan penonton pelbagai generasi.

Sambutan hangat itu membuktikan kumpulan legenda tersebut masih mempunyai tempat dalam industri muzik tanah air selepas lebih tiga dekad mewarnai arena rock tempatan.

Persembahan bermula dengan rentak agresif menerusi lagu Dunia 4 Segi, King El Mondoque, Samurai dan Berdesup Cahaya yang dipimpin vokalis utama Mamu bersama-sama dengan Izo (gitar), Arif (gitar), Eddie (bes) dan Lola (dram) dalam suasana bertenaga dengan sorakan penonton.

Beberapa lagu klasik kemudiannya dipersembahkan secara medley seperti Senapang Patah, Bahalol, Ntahapapantah, Jangan Tak Mandi, Hairan Bin Ajaib, John Jenin dan Pelesit Mata Sebelah, sekali gus membawa penonton mengimbau era awal XPDC.

Segmen nostalgia menjadi tumpuan apabila vokalis Real XPDC, Adeen Mohamad atau lebih dikenali sebagai Abang Gad, tampil membawakan medley Abadikan Tragedi, Aku & Sesuatu serta Nafisa dengan vokal serak ala rock 90-an, membuatkan ramai peminat berdiri serta menyanyi bersama-sama.

2f1ba26608583421122187fe31752279

Kemuncak emosi hadir ketika XPDC mempersembahkan medley Hentian Ini dan Titian Perjalanan apabila Ali, atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, muncul dan menyanyi dalam keadaan duduk di sisi Mamu, menyebabkan ramai penonton bangun sambil mengangkat telefon untuk merakam momen itu dan menyanyi bersama-sama hampir setiap bait lirik.

Pada skrin besar di belakang pentas terpampang wajah dua bekas anggota kumpulan, Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim (Mael) dan Allahyarham Zul Adnan Mohd Razali (JS Kevin), menjadikan persembahan tersebut sebagai penghormatan yang menyentuh hati peminat.

06c03f8a2db05f1ed4620279f4ebd4b7

Ali yang menyertai XPDC pada 1997 menggantikan Allahyarham Mael dan merakam album Samurai pada 1998, tampil meskipun sedang diuji masalah kesihatan dan menyampaikan ucapan ringkas agar peminat terus menyokong XPDC serta industri muzik rock tempatan.

Konsert hampir dua jam itu mempersembahkan kira-kira 20 lagu termasuk beberapa medley, antaranya Monggol Dah Pulang, Raja Kertas, Tak Nak Jadi Soh Chai, Talam Dua Muka, Kita Peng-Yu, Cinta dan Semangat Yang Hilang sebelum lagu For Whom The Bell Tolls yang menutup persembahan dengan tenaga penuh dan sorakan memecah dewan.

Kehadiran penuh di Zepp Kuala Lumpur dengan sorakan, nyanyian bersama dan penghormatan buat Mael serta JS Kevin menjadikan Metalkestra bukan sekadar konsert, tetapi malam nostalgia yang mengingatkan peminat bahawa XPDC antara ikon rock Malaysia terunggul.

Bernama



Source link