Tujuh pemain negara yang digantung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mendapatkan ganti rugi atas kehilangan pendapatan dan kemungkinan kontrak mereka ditamatkan.
Harian Metro memetik sumber semalam melaporkan bahawa para pemain berkenaan telah berbincang dengan peguam di luar negara selepas digantung Fifa berikutan dakwaan pemalsuan dokumen.
“Mereka (tujuh pemain) boleh berbuat begitu dan ia bukan perkara mengejutkan kerana periuk nasi mereka hilang sebab digantung.
“Langkah menuntut ganti rugi itu bagi membolehkan mereka membersihkan nama mereka.
“Ini penting untuk mereka mencari kelab baharu selepas tempoh penggantungan berakhir nanti,” kata sumber.
Jumaat lalu, penyerang Harimau Malaya, Rodrigo Holgado dilapor mungkin dilepaskan oleh kelabnya di Colombia, selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman terhadap FAM dan pemain terbabit.
Pada Sabtu lalu, kontrak seorang lagi pemain turut ditamatkan oleh dua kelab bola sepak Sepanyol susulan tindakan FIFA.
Pada Sept lalu, FIFA mengenakan denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta) ke atas FAM, manakala tujuh pemain – Holgado, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano – masing-masing didenda 2,000 franc Swiss.

Menurut FIFA, tujuh pemain tersebut tidak memiliki datuk atau nenek yang dilahirkan di Malaysia seperti didakwa.
Namun, FAM menolak dakwaan pemalsuan dokumen itu dengan mengatakan FIFA tidak menyediakan bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.
FAM kemudian membuat rayuan terhadap hukuman FIFA, dengan mengatakan kakitangan pentadbirannya telah melakukan kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen pemain.
Walaupun menafikan dakwaan itu, sebuah portal berita Argentina turut menerbitkan dua pendedahan, mendakwa Garces dan Iraurgui tidak mempunyai datuk dan nenek yang dilahirkan di Malaysia seperti didakwa.
Pada 3 Nov, jawatankuasa rayuan FIFA mengumumkan bahawa ia menolak rayuan FAM terhadap sekatan tersebut.
Organisasi itu berkata FAM dan pemain mempunyai tempoh 10 hari untuk meminta alasan keputusan secara bertulis, dan 21 hari untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
FAM kemudian mengumumkan bahawa ia akan membawa perkara itu ke CAS.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menyifatkan penolakan rayuan FAM oleh FIFA sebagai “bermotifkan politik” dan “penyalahgunaan undang-undang”, dan menegaskan bahawa dia akan terus “menyokong pemain dengan apa cara sekalipun”.
Pemilik Johor Darul Ta’zim FC itu turut menawarkan untuk menanggung semua perbelanjaan berkaitan usaha FAM membawa kes itu ke CAS, serta menegaskan tidak gentar sekiranya FIFA “mengambil tindakan” terhadapnya.
Sementara itu, FAM turut menubuhkan jawatankuasa bebas yang dipimpin bekas Ketua Hakim Negara, Raus Shariff, untuk menyiasat isu berkaitan tujuh pemain itu berhubung dakwaan pemalsuan dokumen berkaitan keturunan mereka di Malaysia.






