Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata kerajaan akan membayar kebanyakan rakyat AS “dividen” sekurang-kurangnya US$2,000 setiap seorang, menurut hantaran beliau di platform Truth Social pada Ahad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Beliau menjelaskan bahawa hanya rakyat berpendapatan tinggi akan dikecualikan, namun tidak menyatakan paras pendapatan atau tempoh pelaksanaan cadangan itu.
Hantaran Trump dibuat hampir seminggu selepas Parti Demokrat mencatat kemenangan di beberapa pilihan raya tempatan dan negeri di seluruh negara, termasuk mengekalkan jawatan gabenor di New Jersey dan Virginia serta merampas kerusi Parti Republikan di suruhanjaya utiliti di Georgia, yang selama ini negeri dikuasai Republikan.
Susulan pilihan raya itu, beberapa pihak dalam parti Trump sendiri mengkritik beliau kerana dikatakan kurang memberi tumpuan kepada penyokong terasnya yang sebelum ini dijanjikan pengurangan kos sara hidup dalam kempen pilihan raya.
Kadar inflasi AS kekal tinggi sekitar tiga peratus, menyebabkan ramai rakyat mengadu mengenai kenaikan harga barangan.
Dalam hantaran sama, Trump memuji keadaan ekonomi AS dengan menyatakan bahawa hasil tarif perdagangan akan menjana “trilion dolar” yang boleh digunakan untuk mula melangsaikan hutang negara yang besar.
Trump turut menyifatkan AS sebagai “negara terkaya dan paling dihormati di dunia”, sambil menegaskan “hampir tiada inflasi dan pasaran saham mencatat rekod tertinggi.”
Namun, ramai pengusaha perusahaan kecil di AS membantah dasar tarif itu dan sebahagiannya telah memfailkan saman terhadap kerajaan, dalam kes yang didengari Mahkamah Agung minggu lepas.
Penganalisis turut menzahirkan kebimbangan mengenai kesan ledakan kecerdasan buatan (AI), termasuk risiko pemberhentian besar-besaran pekerja dan peningkatan kos tenaga elektrik. Di bandar besar seperti New York, kos perumahan yang tinggi juga menjadi isu utama.
Trump sebelum ini pernah menimbulkan idea pembayaran berkenaan kepada rakyat AS beberapa bulan lepas, namun tidak meneruskannya pada ketika itu.
– Bernama- Dpa






