PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) diberi tentangan sengit pada aksi separuh akhir pertama Piala FA apabila sekadar meraih kemenangan tipis 1-2 ke atas Kuching City FC (KCFC) di Stadium Negeri, Kuching, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan peluang ke final Piala FA masih terbuka buat kedua-dua pasukan sekali gus bakal menjanjikan aksi lebih sengit pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, 29 November ini.
Turun sebagai penyandang juara, JDT bermula garang dengan melakukan beberapa percubaan ke arah gawang tuan rumah namun tidak cukup untuk mengatasi penjaga gol KCFC, Haziq Nadzli yang berjaya mempertahankan gawangnya dengan baik.
KCFC mencipta peluang menerusi serangan balas pantas diketuai Ronald Ngah Wanja pada minit ke-25 namun rembatan Ramadhan Saifullah melambung tinggi.
Lima minit kemudian, tuan rumah sekali lagi menguji gawang JDT namun ketangkasan Syihan Hazmi berjaya menafikan situasi lawan satu dengan Danial Asri untuk memastikan gawangnya tidak dibolosi.
Pelawat akhirnya berjaya membuka tirai jaringan hasil rembatan rendah Bergson da Silva untuk menewaskan Haziq Nadzli pada minit ke-36 bagi meletakkan JDT mendahului 1-0.
Kuching City hampir menyamakan kedudukan tetapi percubaan Danial sekadar singgah di palang pada minit ke-43 dan kedudukan 0-1 kekal sehingga tamat 45 minit pertama.
Bersambung babak kedua, JDT hanya memerlukan lima minit untuk menggandakan jaringan, dan penjaringnya adalah muka sama iaitu
Bergson yang menyudahkan hantaran Arif Aiman Hanapi.
Usaha tuan rumah untuk mencari gol pertama akhirnya tiba pada minit ke-68 hasil penyudah Petrus Shitembi bagi merapatkan kedudukan.
Selepas itu, beberapa peluang dicipta oleh kedua-dua pasukan namun keputusan itu kekal hingga wisel penamat dibunyi.-AGENSI






