Spekulasi sama ada anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman, akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) akhirnya terjawab malam ini apabila Presiden PKR, Anwar Ibrahim, mengesahkan Yamani Hafez Musa sebagai calon parti itu bagi kerusi Sindimin.
Yamani, bekas Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri Kewangan Persekutuan, merupakan antara 10 calon yang diumumkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam ini — senarai yang turut menampilkan bekas pegawai kanan kerajaan persekutuan, Ruji Ubi, bagi DUN Merotai.
Pengumuman itu menamatkan desas-desus berbulan lamanya mengenai penampilan pertama Yamani di peringkat negeri, namun pada masa sama mendedahkan ketegangan dalam PKR Sabah, selepas 17 ketua cabang sebelum ini menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kemasukan ahli baru yang terus diberi laluan sebagai calon.

Yamani dan Ruji baru sahaja menyertai PKR tetapi terus diangkat di barisan hadapan sekali gus menimbulkan rasa tidak senang sebahagian jentera parti negeri.
Turut tersenarai ialah Jamawi Jaafar, yang telah melompat parti kali keempat dalam tempoh tujuh tahun.
Jamawi memenangi kerusi Kemabong di bawah tiket BN pada 2018, namun melompat ke Warisan selepas pilihan raya tersebut.
Pada 2020, dia kembali semula kepada BN ketika Musa cuba menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Warisan ketika itu.
Sepuluh calon, seorang penyandang
Daripada sepuluh calon PKR, hanya Peto Galim merupakan penyandang.
Berikut senarai penuh calon PKR bagi pilihan raya negeri Sabah:
Inanam – Peto Galim (penyandang)
Tulid – Rufina Pengeran (Ketua Wanita PKR Sabah)
Petagas – Awang Hussaini Sahari (bekas Ahli Parlimen Putatan)
Segama – Romansa Lamin
Gum-Gum – Abdul Said Pimping
Api-Api – Thonny Chee
Merotai – Ruji Ubi (bekas pegawai kanan kerajaan)
Melalap – Jamawi Jaafar
Sindumin – Yamani Hafez Musa
Karamunting – George Hiew

Dalam ucapannya ketika majlis pengumuman calon, Anwar berkata dia sendiri akan mengetuai jentera pilihan raya PKR di Sabah bagi menyelaras strategi kempen dan memperkukuh perpaduan di semua bahagian.
Dengan pengumuman calon PKR ini, Pakatan Harapan (PH) kini menampilkan 18 calon di Sabah — tujuh daripada DAP, sepuluh daripada PKR, dan satu daripada Amanah.
Ini bermakna Upko hanya akan bertanding di lima kerusi daripada keseluruhan 23 kerusi yang diperuntukkan kepada PH dalam PRN kali ini.
Setakat ini, hanya Upko — yang presidennya Ewon Benedick iaitu Pengerusi Harapan Sabah — belum mengumumkan senarai calon.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi pada 29 Nov.






