Okey, mungkin ada yang setuju atau ada yang tidak setuju dengan kenyataan ini.
Tetapi betul, Cik Bunga ada mendapat perkhabaran bahawa adalah beberapa penerbit drama ‘berkenan’ dengan personaliti dan wajah anak Allahyarham Suhaimi Saad dan Ina Naim ini.
Siapa lagi kalau bukan Ehmad Hadie Elfardie atau lebih mesra disapa sebagai Hadie.
Ramai kata Hadie ini bukan sahaja mewarisi bakat seni ayahanda tercinta bahkan makin menyerlah wajah tampan serta karisma yang mampu menggetarkan hati para peminat.
Mana tidaknya, sampai penerbit drama pun setuju bahawa Hadie boleh jadi calon pelapis hero Melayu yang industri kita teramat-amat dahagakan ketika ini.
Bukan apa, di saat ‘stok’ jejaka maskulin Melayu sejati semakin pupus dalam drama dan filem, muncul pula Hadie.
Cik Bunga pun puji Hadie ini kerana dia memiliki aura sopan santun, senyum manis, personaliti merendah diri dan potensi yang bukan calang-calang.
Tidak dinafikan, kalau kena cara gilapannya, pasti boleh bikin heroin tumbang, peminat terpikat dan para penerbit berebut untuk menjadikannya hero utama yang akan mengembalikan zaman kegemilangan lelaki Melayu sebagai pujaan hati.
Iyalah, kita pun sudah ‘muak’ lihat hero Melayu muka tak macam Melayu pun. Ramai hendakkan wajah jambu. Mentang-mentanglah ramai minat dunia lakonan artis Korea. Tak akanlah wajah Melayu untuk drama Melayu pun hendak berpaksikan wajah persis artis Kpop?
Agak-agaklah ya. Tetapi apa pun, Cik Bunga setuju, Hadie kalau fokus betul-betul dalam dunia seni, dia boleh pergi jauh. Jangan mudah hanyut yang pastinya. Kalau tidak, boleh pening kepalalah ibunya nanti hendak menjaga.






