Malaysia Oversight

ADUN Pas cadang ‘halalkan’ pangkalan haram bantu penduduk di Sungai Golok

By Utusan in November 9, 2025 – Reading time 2 minute
ADUN Pas cadang 'halalkan' pangkalan haram bantu penduduk di Sungai Golok


KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri () dari Jelawat Zameri Mat Nawang mencadangkan supaya pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok yang sudah dirobohkan oleh pihak berkuasa ‘dihalalkan’ semula.

Beliau bagaimanapun berkata, sememangnya menyokong perobohan pangkalan haram itu namun, negeri mesti melihat langkah-langkah terbaik membantu penduduk yang terjejas.

“Ini bukan soal negeri tidak suka kepada perobohan pangkalan haram, bukan mengatakan aktiviti di pangkalan haram tersebut bukan untuk mencari rezeki.

“Tapi sekarang kita nak cara untuk bantu mereka yang terjejas. Ini senang sebenarnya, kita jadikan pangkalan haram itu sebagai pangkalan yang halal. Kita bina (ICQS) di kawasan itu (pangkalan haram).

“Letaklah polis di situ dan sebagainya supaya jadikan ia pangkalan yang halal,” katanya semasa membahaskan pembentangan Belanjawan 2026 semasa Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) (Belanjawan) di Kota Darulnaim di sini  hari ini.

Zameri memberitahu, ketika ini terdapat tiga pangkalan halal di Kelantan iaitu Pengkalan Kubor (Tumpat), Rantau Panjang dan Bukit Bunga (Jeli).

Utusan Malaysia 6 Oktober lalu melaporkan, dua buah pangkalan haram yang dikenali sebagai Dua Riya dan Nusi di Tanah Merah menjadi lokasi terbaharu dirobohkan oleh Polis Kelantan dalam dalam usaha mengekang aktiviti jenayah termasuk penyeludupan di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kerja-kerja merobohkan dua pangkalan haram itu dilakukan pada 4 November lalu menerusi kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pejabat Tanah dan Galian serta pihak berkuasa tempatan.

Katanya, pada 28 Oktober lalu pangkalan haram Gergaji dan MCA di Rantau Panjang menjadi lokasi rintis kepada kerja-kerja tersebut.-UTUSAN





Source link