Malaysia Oversight

Skuad junior campuran negara raih perak kejohanan Asia 2025

By Utusan in November 9, 2025 – Reading time 3 minute
Skuad junior campuran negara raih perak kejohanan Asia 2025


KUALA LUMPUR: Skuad campuran junior negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 2-13 kepada Thailand A dalam aksi final Kejohanan Petanque Asia Keenam di Arena Petanque Kuala Lumpur, hari ini.

Pasukan Thailand yang dibarisi juara dunia campuran junior acara precision shooting, Suekham Pannada dan Aramrod Saharat, jelas berada dalam kelas tersendiri apabila mula menguasai permainan selepas permulaan yang seimbang.

Malaysia yang diwakili Muhammad Aidil Zakri Junaidi, Muhammad Arsyad Muhammad Tajuddin, Siti Noor Ellyshatul Balqish Suhaimi dan Nur Erissya Najwa Helmey berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada awal permainan sebelum lawan mempamerkan keunggulan untuk mendahului 6-1, kemudian 10-2 dan akhirnya menamatkan saingan dengan kemenangan bergaya.

Meskipun gagal meraih emas, skuad muda negara boleh berbangga dengan pencapaian perak yang dianggap kejayaan besar dalam penampilan sulung mereka di pentas Asia.

“Kami sudah memberikan yang terbaik, cuma nasib tidak menyebelahi. Kami cuba menggunakan lontaran jauh tetapi tidak menjadi seperti dirancang, manakala pemain Thailand amat tepat dalam pukulan mereka.

“Masih ada ruang untuk diperbaiki terutama dalam teknik pointing seperti kawalan, pusingan dan angkatan bola. Namun kami tetap gembira dapat mara ke final pada kejohanan pertama bersama. Walaupun sedikit kecewa, pengalaman ini menjadi motivasi untuk kami kembali lebih kuat,” kata Arsyad selepas perlawanan.

Sementara itu, jurulatih skuad negara, Muhd Nuzul Azwan Ahmad Temizi memuji ketenangan serta semangat juang anak buahnya sepanjang kejohanan walaupun hanya mempunyai tempoh persiapan singkat.

“Pasukan junior ini baru dibentuk Julai lalu dan sebahagian besar latihan dilakukan secara dalam talian. Pemain mempunyai asas kukuh melalui program SUKMA, tetapi kekurangan pendedahan antarabangsa berbanding Thailand yang menurunkan dua juara dunia.

“Dalam keadaan itu, mereka tetap menunjukkan prestasi membanggakan. Pingat perak ini membuktikan program pembangunan junior Malaysia berada di landasan yang betul,” jelasnya.

Terdahulu, pasukan beregu tiga lelaki dan wanita negara masing-masing membawa pulang pingat gangsa selepas tewas di separuh akhir kepada lawan dari Kemboja.

Skuad lelaki (Pasukan B) dibarisi Mohd Muqri Arif Mohd Sapiny, Khairul Amirul Zamrul Hisyam, Muhd Idham Shahrulzahari dan Muhd Nuzul Azwan, manakala skuad wanita menampilkan Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali, Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz, Siti Asiah Zaini dan Nur Iman Aina Ahmad Sabti.

Malaysia turut mencatat permulaan cemerlang apabila Nur Iman Aina, Muhd Harith Muhaimin Hafaizul dan Nuzul Azwan masing-masing meraih dua perak serta satu gangsa dalam acara precision shooting.

Secara keseluruhan, kontinjen negara menamatkan cabaran selaku tuan rumah dengan kutipan tiga perak dan tiga gangsa, prestasi yang dianggap lonjakan semangat menjelang temasya Sukan SEA di Thailand bulan depan.

Malaysia menduduki tempat keempat keseluruhan di belakang Thailand yang muncul juara keseluruhan dengan tiga emas, diikuti Kemboja dua emas dan satu perak manakala Indonesia satu emas serta satu gangsa.-UTUSAN





Source link