BATU GAJAH: Seorang penternak lembu mendakwa kerugian RM50,000 apabila 17 ekor lembu miliknya ditemukan mati, dipercayai akibat memakan rumput yang tercemar dengan bahan kimia.
R. Nithiananthan, 38, dari Taman Tronoh Baru di sini berkata, dia menyedari kejadian itu pada 5 November lalu apabila sebahagian besar lembu ternakannya ditemukan mati berhampiran kolam dan parit, lokasi biasa ternakannya meragut rumput.
Dia percaya haiwannya itu mati akibat memakan rumput yang tercemar bahan kimia kerana lokasi haiwan ternakannya yang ditemukan mati, dikesan berbau bahan kimia.
“Saya telah membuat laporan polis mengenai kejadian ini pada 6 November lalu dan akan memaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Saya harap pihak berkuasa menyiasat segera kejadian ini, dibimbangi bahan ini beracun yang boleh membahayakan penduduk setempat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Seorang penduduk, Nor Affandi Ahmad, 51, mendakwa aktiviti pembuangan sisa dipercayai bahan kimia di kawasan itu sudah dikesan sejak sebulan lalu.
Menurutnya, pihak yang membuang sisa bahan kimia melakukan perbuatan itu pada waktu malam.
“Mereka buang bahan kimia tersebut dan menimbusnya dengan sampah, bau bahan yang dibuang itu memang lain.
“Terdapat lima lokasi pembuangan bahan itu dalam radius 200 meter dari kawasan rumah penduduk. Ada penduduk yang mengalami gatal kulit selepas melalui kawasan berkenaan.
“Kami risau sebab apabila hujan, bahan tersebut larut dalam tanah dan masuk dalam parit. Memang bahaya kalau terus dibiarkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pusat Khidmat dan Aduan Awam Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, pihaknya turun padang meninjau lokasi dan bahan kimia tersebut dipercayai dari sebuah kilang.
“Kita bukan pakar, jadi kita tunggu laporan rasmi daripada jabatan berkaitan untuk sahkan sama ada bahan itu benar-benar beracun.
“Kami akan merujuk perkara ini kepada JAS pada Isnin ini bagi tindakan lanjut. Perbuatan ini bukan sahaja menyebabkan kematian ternakan tetapi dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan penduduk,” katanya. – UTUSAN






