Bekas setiausaha politik Allahyarham Khalid Ibrahim, Faekah Husin mengimbau kembali pengkhianatan yang dilalui bosnya dalam “Langkah Kajang” yang menyaksikan menteri besar Selangor itu digulingkan.
Faekah bagaimanapun enggan mengulas lanjut atas alasan mahu melupakannya.

Dia sebaliknya menyifatkan serangan dalaman terhadap calon jawatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang berlaku sekarang, umpama satu karma.
“Ini karma,” kata Faekah ringkas kepada Sinar Harian.
Menurut Faekah, dia sedang berusaha melupakan detik hitam yang pernah berlaku terhadap Khalid yang ditikam orang parti suatu ketika dahulu.
“Biarlah ia menjadi lipatan sejarah hitam yang saya sendiri berusaha untuk melupakannya.
“Kebanyakan cerita, memang telah diketahui ahli PKR dan rakyat Selangor,” katanya.
“Saya hanya mahu beliau (Khalid) bersemadi dengan aman semoga ditempatkan bersama para solihin di taman-taman syurga,” jelas Faekah.
Rafizi sebelum ini membidas individu yang didakwanya menyemai benih-benih menyemai perbalahan sambil berpura-pura sedang mencari keharmonian.

Menteri ekonomi itu, yang kini berdepan cabaran langsung daripada Nurul Izzah Anwar, anak sulung presiden PKR Anwar Ibrahim, menyuarakan kekecewaannya terhadap budaya “tikam belakang” dalam parti.
Pemerhati, bagaimanapun, melihat persamaan antara nasib Rafizi dan nasib yang pernah dialami Khalid.
Khalid dipecat daripada PKR pada 9 Ogos 2014. Ini dipercayai atas keengganannya berundur sebagai menteri besar.
PKR mahu meletakkan presiden parti ketika itu Dr Wan Azizah Wan Ismail – isteri Anwar – menggantikannya.
Tindakan yang dikenali sebagai “Langkah Kajang” itu dilaporkan sebagai antara strategi yang dikaitkan dengan Rafizi.
Daripada seorang teknokrat yang disegani dan bekas ketua pegawai eksekutif Kumpulan Guthrie Bhd, Khalid dilantik sebagai menteri besar pada 13 Mac 2008.

Tempoh perkhidmatannya berakhir apabila dia terpaksa menyerahkan peletakan jawatannya kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 26 Ogos 2014.
Bagaimanapun, sultan menolak Wan Azizah sebagai calon tunggal yang dicadangkan PKR, dan baginda kemudiannya memilih Azmin Ali untuk menggantikan Khalid sebagai menteri besar.
Dalam perkembangan berasingan, Sinar Harian juga melaporkan Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek menolak pelawaan ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail untuk berdebat mengenai hala tuju dan masa depan sayap wanita parti itu.

berkata perbahasan bukanlah satu keutamaan buat masa ini kerana fokus utamanya adalah untuk mengukuhkan parti dan menyokong presiden.
“Jawapan saya sama dengan Nurul Izzah, tidak ada keperluan. Sekarang ini fokus kami adalah untuk memperkukuhkan parti.
“Semua seruan-seruan itu yang kita telah pun bawa bersama adalah untuk terus memperkukuhkan parti dan memberikan sokongan penuh kepada presiden parti kita,” katanya.
Rodziah, yang sealiran dengan Rafizi, bertanding jawatan ketua Wanita PKR.