Adalah penting bagi masjid mengadakan program yang boleh menarik minat golongan belia mengimarahkan rumah Allah. Tidak kiralah ia berbentuk sukan, pendidikan atau pun program kemasyarakatan.
Inilah inisiatif yang dilakukan oleh Masjid An-Nur (MAN), Saujana Utama, Sungai Buloh dengan kerjasama Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Puncak Alam, Selangor, pagi ini..
Dalam program Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) dan Sarapan Perdana pagi ini, ia memberi peluang kepada 68 pelajar fakulti berkenaan untuk mempraktikkan imlu teori di kampus dengan realiti masyarakat.
Program dimulakan dengan solat subuh berjemaah diikuti kuliah subuh oleh Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Shah Alam, Dr. Mohd. Dasuqkhi Mohd Sirajuddin bertajuk ‘Viral Halal: Semak Sebelum Sebar’.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Industri), Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Prof. Dr. Chemah Tamby Chik berpuashati dengan projek tersebut yang disifatkannya berjaya memasyarakatkan pelajar.
Katanya, UiTM menekankan aspek bagaimana para pelajar dapat memberi manfaat kepada komuniti yang paling dekat dengan mereka.

“Bagi kita di kampus Puncak Alam. kawasan Saujana Utama dan Puncak Alam adalah komuniti terdekat dengan kita. Dan program hari ini berjaya merealisasikan matlamat kita.
“Di sini, pelajar dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang mereka pelajari selain melaksanakan program penyediaan makanan yang melibatkan aspek keselamatan, halal dan kualiti makanan
“MAN juga sangat memberi kerjasama yang baik bagi menjayakan program kali ini,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Projek, Hana Aishah Abd. Munir, 23, bersyukur kerana projek julung kali yang bertujuan menjalin hubungan pelajar dengan komuniti mencapai matlamatnya.
Katanya, kertas kerja mengadakan projek yang melibatkan pelajar tahun dua Sarjana Pengurusan Perkhidmatan Makanan dan pelajar sarjana muda Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan itu disediakan pada September lalu.

“Pada awalnya, saya rasa agak gementar juga sebab ini kali pertama menguruskan program dengan pihak masjid. Namun alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan pihak MAN juga memberi sokongan yang baik kepada kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Program tersebut disertai oleh 68 pelajar dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM Puncak Alam dan pelajar pascasiswazah kumpulan HM7122A yang mengambil kursus Pengurusan Halal Komprehensif.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Dr Abdul Halim Tamuri; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Ahmad Zamani Mansor dan Nazir MAN, Hamzah Mohd. Amin.
Antara menu yang menjadi tarikan kira-kira 300 jemaah ialah lontong kuah lodeh, nasi lemak ayam goreng berempah, lempeng dan ubi kayu rebus yang semuanya dimasak secara langsung di pekarangan masjid. –UTUSAN






