Perdana Menteri Anwar Ibrahim lakukan walkabout dan bersarapan bersama komuniti di Pasar Pagi Gaya Street Kota Kinabalu pada pagi Ahad.
KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sesi ramah mesra dan bersarapan bersama komuniti setempat di Pasar Pagi Gaya Street pada pagi Ahad.
Ketibaan beliau pada pukul 8.35 pagi disambut oleh Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah serta pengunjung pasar.
Turut mengiringi lawatan itu Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.
Anwar memulakan lawatan dengan mendengar taklimat daripada pihak DBKK sebelum meluangkan kira-kira sejam beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung.
Pasar yang lebih dikenali sebagai ‘Tamu Gaya Street’ itu terkenal dalam kalangan pelancong asing.
Perdana Menteri kemudian menikmati nasi lemak di sebuah restoran berhampiran sebelum bergerak ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.
Beliau dijadual merasmikan Program Rancakkan MADANI Sabah di pusat konvensyen berkenaan.
Seorang pengunjung, Robert Lius, 56, berkata beliau amat teruja berpeluang berjumpa dan bersalaman dengan Perdana Menteri.
“Hari ini saya datang bersama keluarga untuk membeli pelbagai barangan dan kebetulan pula Perdana Menteri hadir di sini,” katanya.
Beliau menambah rasa bertuah dapat berjumpa dengan Anwar tanpa mengetahui terlebih dahulu mengenai lawatan tersebut.
Tamu Gaya Street hanya diadakan setiap hari Ahad bermula pukul 7 pagi hingga 1 tengah hari.
Pasar itu menawarkan pelbagai barangan termasuk bahan mentah, pakaian, barang antik dan produk kraftangan tempatan. – Bernama
Post Views: 1






