Malaysia Oversight

Lebih 2,000 penerbangan di seluruh AS dibatalkan

By MkiniBM in November 9, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


GLOBAL | Kekurangan kakitangan di pusat kawalan trafik udara AS serta arahan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) untuk mengurangkan empat peratus penerbangan di 40 lapangan terbang utama mengakibatkan lebih 2,000 penerbangan dibatalkan pada sejak Jumaat.

Menurut Anadolu Ajansi, pembatalan besar-besaran itu merupakan gangguan terkini dan ia mungkin yang terbesar terhadap perjalanan udara di AS sejak penutupan bermula lebih sebulan lalu.

Agensi itu melaporkan pengurangan penerbangan yang diarahkan FAA bermula dengan empat peratus hujung minggu ini dan dijangka meningkat kepada enam peratus pada 11 Nov, diikuti lapan peratus pada 13 Nov, dan 10 peratus pada 14 Nov.

Syarikat penerbangan SkyWest, Southwest dan Envoy Air mencatat kadar pembatalan tertinggi, manakala United, Delta dan American Airlines turut mengalami kelewatan ketara, menurut laman pemantauan penerbangan FlightAware.

Syarikat penerbangan diminta menambah bilangan pengurangan penerbangan secara berperingkat sepanjang minggu ini.

Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy, memberi amaran bahawa kadar itu boleh mencecah sehingga 20 peratus jika penutupan berterusan.

Dalam wawancara bersama Fox News, Duffy menyalahkan penutupan atas krisis kekurangan tenaga kerja, dengan menjelaskan bahawa “masalah sebenar ialah pengawal trafik udara tidak dibayar dan mereka terpaksa mencari kerja sampingan.”

Dia turut memberi amaran mengenai kemungkinan pengurangan kapasiti yang lebih besar.

“Jika penutupan ini tidak berakhir dalam masa terdekat, lebih ramai pengawal tidak akan hadir bekerja.

“Maka kami terpaksa menilai tekanan ini dan mungkin meningkatkan pengurangan daripada 10 kepada 15 atau 20 peratus,” katanya.

Duffy menggesa Kongres agar segera menamatkan penutupan kerajaan.

“Tamatkan penutupan ini, biarkan Kongres berdebat isu mereka, tapi jangan jadikan rakyat AS dan penumpang udara sebagai tebusan bagi penutupan kerajaan yang kini telah mencapai tahap paling lama dalam sejarah,” katanya.

Penutupan kerajaan yang bermula pada 1 Okt itu telah menjejaskan pembayaran gaji kakitangan persekutuan termasuk pengawal trafik udara dan pegawai Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) yang terus bekerja tanpa menerima bayaran, lapor agensi berita itu.

Bernama/Anadolu



Source link