Ketika lazimnya sepinggan mi goreng di kedai biasa boleh mencecah harga antara RM7 hingga RM10, sebuah restoran perusahaan sosial baru di Kuala Lumpur membuat rakyat Malaysia menilai semula apa sebenarnya harga makanan yang adil.
Terletak di kawasan parlimen Pandan, Kesum — yang dilancarkan semalam melalui inisiatif Ayuh Malaysia yang diterajui bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli — menawarkan hidangan Malaysia gaya rumah yang menyelerakan.
Semua hidangan di situ berharga tidak lebih RM5.

Di Kesum, nasi lemak ayam goreng berharga hanya RM4.90, mi goreng RM3.90, manakala kepak ayam pedas RM4.99. Harga itu hampir separuh daripada harga di restoran berhampiran yang biasanya bermula sekitar RM6 untuk hidangan asas, dan lebih tinggi jika ditambah ayam atau telur.
Seorang peniaga kecil, Amilia Abdul Rahman, 45, nasi lemak ayam goreng yang ditawarkan pada harga RM4.90 di Kesum itu memang berbaloi untuk dicuba. Tambahan pula hidangan tersebut boleh dianggap seimbang dan mengenyangkan.
“Dengan harga tu, memang berpatutan,” katanya.
Kata Amilia, biasanya apabila bersarapan di tempat lain, dia akan berbelanja antara RM3 hingga RM6, justeru harga di Kesum masih dianggap realistik.
Namun kunjungannya ke kedai yang menggunakan moto “Kenyang, Sedap dan Murah” itu bukan sekadar untuk makan. Dia juga mahu melihat cara operasi dan memahami apa yang menjadikan model perniagaan tersebut berbeza daripada yang lain.
“Tawarkan makanan murah bukan benda baru, jadi saya nak tahu apa manfaat jangka panjang untuk komuniti dan adakah ia betul-betul membawa kelainan pada masyarakat,” katanya.
Semua tak ada pengalaman
Pada akhir kunjungannya di Kesum, Amilia mengaku dia masih membuat penilaian.
“Panas dan sibuk, saya kena fikir dulu,” katanya sambil ketawa.
Seorang lagi pelanggan, Nur Laila Kamaruddin, 63, sanggup datang dari Port Dickson bersama suami selepas melihat video restoran itu di media sosial.
“Kat Port Dickson pun tak dapat makanan semurah ni,” katanya.
Nur Laila juga memuji nasi lemak yang dihidangkan di Kesum sebagai wangi, selain ayam yang menyelerakan, sambal yang kena dengan tekaknya, serta saiznya yang banyak.
“Saya harap mereka buka cawangan lain,” tambahnya.

Bagi Muhd Fauzi Kamal, 62, seorang veteran yang tinggal di Cochrane, pendekatan Kesum memberi pilihan yang baru kepada orang ramai.
“Di kedai mamak misalnya, nasi berlauk ayam dengan sayur pun senang-senang RM7 ke RM10.
“Di sini ayam RM1, air RM1.50, sistem pun efisien. Bagus tengok anak muda tempatan buat benda ni, bukan serah pada peniaga asing,” katanya.
Muhd Fauzi juga berharap inisiatif sebegitu dapat dikembangkan kerana kedai yang menawarkan pilihan makanan mampu milik banyak membantu masyarakat.

Sehari sebelum pelancaran Kesum, bekas pegawai khas Rafizi di kementerian ekonomi, Haqimi Zamri, 24, mengetuai latihan terakhir bersama pasukan mudanya – yang semua masih baru dalam bidang penyediaan makanan – sebagai persediaan meraikan pelanggan.
“Kami sedang siapkan hal-hal kecil-kecil latihan malam ni.
“Tak ada seorang pun kru yang ada ini pernah kerja restoran, semua belajar sambil bekerja,” katanya kepada Malaysiakini pada Jumaat.
Haqimi menjelaskan setiap syif ada enam pekerja yang bergilir antara dapur, kaunter, dan pembersihan supaya semua dapat latihan pelbagai kemahiran.
Margin 20 peratus
Katanya, Kesum menggunakan sistem retort cooking, menjadikan dapur seperti food assembly ala restoran segera untuk menjimatkan masa dan kos tanpa menjejaskan kualiti yang dihidangkan.
Pun begitu ayam goreng dimasak segar untuk memastikan ia rangup — perkara kecil yang tetap diberi perhatian di sebalik tawaran harga lebih rendah berbanding kedai lain.
Menjelang malam, Rafizi sendiri turun padang memeriksa dapur dan rak penyimpanan bagi memastikan semuanya siap sedia untuk hari pembukaan beberapa jam selepas itu.
“Kita kena pastikan sebelum jam 10 malam ni semua dah siap,” katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan struktur harga Kesum direka untuk mencabar tanggapan umum bahawa makanan murah mesti bermakna berkualiti rendah.
“Tujuan kami ialah untuk membuktikan bahawa apabila syarikat sosial tak mengejar untung, kita boleh kurangkan kos dan tetap boleh jual pada harga ni,” katanya.

Rafizi berkata dengan menghapuskan keuntungan peribadi dan menumpu pada jualan berkuantiti tinggi, Kesum masih boleh mengekalkan margin 20 peratus. Hal itu kerana walaupun untung bagi setiap barang kecil, kos operasi adalah rendah.
“Ini membuktikan makanan sedap tak semestinya berharga RM10 kalau kita buang mark-up (harga tokokan) yang tak perlu,” katanya.
Jika model kewangan Kesum kekal stabil dalam tiga bulan pertama, Rafizi berkata konsep itu akan diperluas ke seluruh negara.
Katanya Kesum bukan sekadar tentang makanan murah, tapi cubaan mengubah cara rakyat berfikir tentang pemilikan dan keadilan dalam perniagaan makanan.
“Ini bukan sekadar kafe, tapi satu cabaran terhadap idea bahawa harga tinggi itu normal — dan peringatan bahawa makanan yang berharga murah memang boleh wujud,” katanya.

Perjalanan perusahaan sosial Rafizi bermula dengan Fleximart, kedai perintis di bawah inisiatif Ayuh Malaysia yang menjual makanan dan barangan dapur murah sambil berkongsi keuntungan dengan pekerja dan pembekal kecil.
Kedai itu beroperasi dengan model sama — untung kecil, jualan tinggi — bagi memastikan harga berpatutan, dan pada ketika sama memberi peluang pendapatan kepada usahawan kecil, serta menguji cara baru memastikan makanan serta barangan asas berkualiti kekal mampu milik untuk komuniti setempat.
Ketika pelancaran Fleximart, orang ramai beratur mencuba makanan RM5 dan ramai memuji konsep itu sebagai praktikal dan berjiwa komuniti.
Dengan hidangan siap sedia dari mesin layan diri serta makanan panas di bawah RM5, konsep itu menunjukkan bagaimana perusahaan sosial boleh digabungkan harga mampu milik, kualiti, dan peluang untuk pembekal kecil — membuka jalan kepada projek seterusnya seperti Kesum.






