KUALA LUMPUR: Bukan sahaja kesemua tiket habis dijual, malah Penyanyi, Datuk Shiela Majid meninggalkan kenangan manis mendendangkan lagu malar segarnya, Sinaran, sebagai penutup konsert Sheila Majid: 40 Years In Music, pada Sabtu.
Walaupun lagu berkenaan pernah mencetuskan kontroversi berhubung isu royalti, namun itu tidak sedikit pun menjejaskan semangat penonton untuk bangun berjoget dan bernyanyi beramai-ramai, membuktikan karya legenda itu masih ‘berhantu’ hingga kini.
Sheila, 60, yang tampil anggun berbusana merah dan bertenaga sepanjang persembahan, tidak dapat menyembunyikan rasa terharu ketika mengimbau perjalanan empat dekad kariernya di hadapan ribuan peminat setia.
“Saya tidak pernah terfikir akan mampu melakukan apa yang saya cintai selama ini. Namun, semuanya tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan anda semua, para peminat saya.
“Terima kasih atas kasih sayang, sokongan, galakan dan kesetiaan sepanjang 40 tahun ini. Malam ini adalah parti ulang tahun kita bersama. Anda semua adalah keluarga saya,” katanya disambut sorakan gemuruh.

Selama hampir tiga jam persembahan, penerima Anugerah Sri Wirama, Anugerah Industri Muzik ke-22 itu mendendangkan 25 buah lagu termasuk beberapa karya yang jarang dinyanyikan secara langsung.
“Lagu Catat tidak pernah saya nyanyikan secara langsung sebelum ini. Tetapi malam ini, saya mahu membawakannya khas untuk anda semua,” ujar Sheila yang mendapat tepukan gemuruh penonton.
Antara lagu yang mengisi senarai persembahan ialah Warna, Dia, Antara Anyer dan Jakarta, Lagenda dan Ku Mohon, lengkap dengan persembahan cahaya, letupan bunga api serta gimik kelopak mawar yang gugur dari siling stadium.
Konsert turut diserikan dengan kehadiran komposer tersohor Indonesia, Tohpati, yang dianggap antara individu penting dalam perjalanan karier Sheila di negara seberang menerusi kolaborasi di album Boneka dan lagu Cinta Jangan Kau Pergi.
Lebih istimewa, anak sulung penyanyi itu, Kayda, turut membuat persembahan istimewa pada segmen ketiga konsert, memperlihatkan kesinambungan bakat seni dalam keluarga berkenaan.
Antara selebriti yang hadir memeriahkan malam penuh nostalgia itu termasuk Anuar Zain, Datuk M. Nasir, Jaclyn Victor serta penyanyi terkenal Indonesia, Afgan. -UTUSAN






