Malaysia Oversight

Bot bawa hampir 100 Pati karam, mayat wanita ditemui

By MkiniBM in November 9, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Sebuah bot dipercayai membawa hampir 100 pendatang tanpa izin (Pati) pelbagai warganegara karam berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand, dengan enam daripadanya ditemukan selamat di perairan Langkawi.

Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah berkata enam yang diselamatkan terdiri daripada tiga lelaki warga Myanmar, dua lelaki etnik Rohingya dan seorang lelaki Bangladesh. Turut ditemui ialah mayat seorang wanita Rohingya yang hanyut di laut.

“Pada jam 9 pagi semalam, polis menerima panggilan daripada orang awam yang menemui tiga lelaki hanyut (Myanmar) berhampiran Teluk Ewa, Langkawi.

“Mereka berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada polis. Pada sebelah petang, tiga lagi lelaki serta satu mayat wanita ditemukan di sekitar lokasi sama.

“Siasatan awal mendapati kira-kira sebulan lalu, mereka menaiki sebuah kapal besar membawa 300 orang untuk masuk ke Malaysia.

“Namun, sebaik menghampiri sempadan, mereka diarahkan menaiki tiga bot lebih kecil, dengan anggaran 100 orang setiap bot,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Adzli berkata pertukaran bot dilakukan bagi mengelak dikesan dan ditahan pihak berkuasa.

“Namun, tiga hari lalu, bot yang mereka naiki karam dan lokasi kejadian dipercayai berada di perairan Thailand sebelum mereka dihanyutkan ke perairan Malaysia.

“Status dua bot lagi masih tidak diketahui sama ada turut karam atau sebaliknya. Polis telah meminta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta pasukan polis marin melancarkan operasi mencari dan mengesan mangsa lain serta baki bot yang hilang,” katanya.

Menurut Adzli siasatan lanjut akan dijalankan terhadap enam lelaki berkenaan yang kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi bagi mendapatkan maklumat sebenar, manakala mayat wanita itu ditempatkan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

Bernama



Source link