PETALING JAYA: Pelakon, Shaza Bae, tidak dapat menahan air mata apabila mengenang episod perceraian ibu dan bapa yang terjadi pada usianya tujuh tahun.
Dedah Shaza atau Shaza Nuriman Mohamad Zamri, 30, dia pernah menyimpan perasaan marah kepada orang tuanya kerana tidak boleh menerima situasi yang terjadi.
“Walaupun usia saya sangat muda pada ketika itu, tapi saya sudah faham banyak perkara.
“Mula-mula memang marah dengan apa yang terjadi sebab tidak faham.
“Tapi bila sudah makin membesar, kita nampak sebenarnya menjadi ibu dan ayah adalah tugas yang paling susah dalam dunia.
“Mengenang itu membuatkan kita jadi lembut hati,” katanya yang dibesarkan oleh ibunya sejak kecil.
Shaza berkongsi kisah peribadi itu menerusii program audiosiar Bukak Mulut yang tular di media sosial.
Dalam pada itu, juara pertandingan Dewi Remaja 2019 bagaimanapun sudah berdamai dengan apa yang terjadi dan menerima ketentuan ini dengan lapang dada.
“Saya tidak lagi mengukum ibu ayah dengan perkara yang terjadi.
“Untuk saya cakap benda ini sekarang, saya sudah berdamai dengan takdir.
“Saya faham kenapa saya dibesarkan dalam ‘broken family’. Mungkin sebab Allah nak ajarkan saya kuat, pasti ada hikmah disebaliknya,” katanya.
Ramai yang tersentuh dengan perkongsian pelakon itu dan kagum dengan kecekalannya selama ini.
“Bangga dengan awak,” tulis pelakon, Hafreez Adam.
“Percayalah sayang, suatu hati nanti aqak akan kahwin dan Allah kurniakan awak suami yang baik dan keluarga bahagia,” doa seorang peminat.
“Saya faham apa awak lalui, kita sama-sala kuat ya,” tulis komen yang lain.






