PETALING JAYA: Selepas enam kali sekadar bergelar naib juara musim ini, gandingan beregu campuran profesional negara, Jimmy Wong–Lai Pei Jing kini berpeluang menamatkan badi tersebut apabila mara ke final Korea Masters 2025, semalam.
Pasangan pilihan ketiga itu melangkah penuh bergaya ke pentas akhir selepas menewaskan beregu tuan rumah, An Yun Seong–Lee Yu Lim 21-14, 19-21, 21-15 dalam aksi separuh akhir di Iksan, Korea Selatan.
Jurulatih mereka, Ameer Amri Zainuddin menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil ketenangan dan kematangan pemainnya yang berjaya bangkit selepas terlepas peluang menamatkan perlawanan dalam set kedua.
“Permainan tadi Alhamdulillah dapat mengawal dengan baik walaupun mereka mendahului set kedua 19-16 dan kalah selepas itu. Kita hilang peluang di situ. Namun Jimmy–Pei Jing dapat atasi perkara itu.
“Kita fokus semua set ketiga dan berjaya mencari ketenangan dengan fokus setiap mata dan mendahului agak jauh pada set ketiga itu. Jadi dekat situ kami sudah dapat semula keyakinan dan saya bangga dengan prestasi hari ini,” kata Ameer.
Ameer berkata, kemenangan itu bukan sahaja mengangkat semula keyakinan pemainnya, malah menjadi peluang terbaik untuk menamatkan rentetan enam kali tewas di pentas final sebelum ini.
Pasangan berpengalaman negara itu bakal berdepan cabaran getir menentang wakil Korea, Kim Jae-hyeon–Jeong Na-eun dalam final hari ini.
Sekiranya berjaya menjuarai Korea Masters, ia bukan sekadar penamat kepada badi naib juara, tetapi juga gelaran sulung musim 2025 yang mampu menjadi tonik terbaik menjelang siri kejohanan Jelajah BWF musim depan. – UTUSAN






