Projek FTTH untuk 59,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera di 73 kem seluruh negara dijangka selesai suku pertama 2026 dengan pakej Internet RM49.
PUTATAN: Projek Fibre-to-the-Home (FTTH) di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di seluruh negara, dijadual siap sepenuhnya menjelang suku pertama 2026, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata pada masa ini kerja-kerja pelaksanaan giat dijalankan, antaranya melibatkan pemasangan kabel gentian optik serta pemasangan monopole di sekitar kem tentera yang berjalan lancar dan memuaskan.
“Bagi Markas Divisyen Kelima Infantri, Kem Lok Kawi, saya dimaklumkan projek ini yang melibatkan 500 unit rumah dijangka siap sebelum hujung tahun ini. Apabila siap, warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tinggal di sini akan menikmati akses Internet lebih pantas dan murah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau FTTH Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan Point of Presence (POP) Sekolah Kebangsaan Lok Kawi di Markas Divisyen Kelima Infantri, Kem Lok Kawi di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.
Projek FTTH yang melibatkan keseluruhan 73 kem tentera di seluruh negara dengan lebih 59,000 unit RKAT, merupakan hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan ATM, melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 11 Okt 2024.
Fahmi berkata melalui program berkenaan, warga ATM berpeluang melanggan pakej Perajurit Broadband pada kadar RM49 sebulan bagi kelajuan 100Mbps, dengan harga promosi RM39 sebulan untuk tempoh enam bulan pertama.
Mengenai projek Point of Presence (PoP), beliau berkata ia melibatkan pemasangan di 600 buah sekolah di Sabah dan sehingga kini kemajuan pemasangan sangat memberangsangkan iaitu mencapai 85 peratus.
“Kementerian telah memberikan tempoh sehingga hujung tahun depan dan kini kita hanya ada baki 15 peratus, namun ada sekolah yang berada di kawasan pulau, maka pemasanganya sedikit mencabar namun saya percaya pihak syarikat yang dipertanggungjawabkan dapat melaksanakannya,” katanya.
Pada masa yang sama, Fahmi meminta semua sekolah dan kem tentera yang terlibat dengan projek berkenaan dapat melaksanakan Kempen Internet Selamat (KIS), apabila kemudahan berkenaan disiapkan kelak.
“KIS perlu dilaksanakan untuk meningkatkan pemahaman kepada pengguna mengenai keselamatan dalam talian. Saya tidak mahu keadaan kita sedia Internet yang laju yang murah tetapi tidak selamat,” katanya.
KIS ialah kempen untuk meningkatkan kesedaran dan literasi digital di Malaysia, fokus pada isu seperti buli siber, penipuan dalam talian, perjudian digital, dan kandungan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).
Kempen itu menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat dan menggunakan pelbagai modul untuk mendidik pengguna tentang cara menggunakan Internet secara selamat dan bertanggungjawab. – Bernama
Post Views: 1






