BUTTERWORTH : Kewujudan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Seberang Perai yang terletak di Terminal Pengangkutan Penang Sentral di sini dijangka memberi manfaat kepada lebih sejuta penduduk sekitar termasuk mereka yang tinggal di kawasan sempadan selatan Kedah dan utara Perak.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), penubuhan UTC itu dicetuskan melalui pembentangan Ucapan Belanjawan 2025 dan direalisasikan hasil kerjasama strategik antara kementerian tersebut bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“UTC Seberang Perai ini terletak di hab pengangkutan bersepadu yang mengintegrasikan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), bas, feri dan teksi sekali gus berfungsi sebagai pintu masuk penting ke Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
“Pada masa yang sama, ia turut memperkukuhkan kedudukan Butterworth sebagai pusat tumpuan sosioekonomi di bahagian Seberang Perai,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Terdahulu, majlis perasmian UTC berkenaan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Mula beroperasi sejak Isnin lalu, UTC Seberang Perai merupakan UTC kedua yang diwujudkan di Pulau Pinang selepas UTC di Bangunan Komtar, George Town dan UTC ke-24 secara keseluruhannya di negara ini.
Terletak di tingkat tiga dan empat bangunan Penang Sentral, UTC berkeluasan kira-kira 60,000 kaki persegi itu menempatkan sembilan jabatan kerajaan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lain-lain.
Antara kemudahan nilai tambah yang disediakan di situ termasuk Kiosk Sentuhan MADANI (KSM), Hab Informasi Bantuan Tunai (Individu), Hab Kerjaya Sektor Awam–Swasta dan sebagainya.
Dari segi kemudahan operasi pula, UTC yang dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 9 malam itu turut menampilkan Sistem Penggiliran Pintar (Queue Management System atau QMS) bersepadu, ruang kerja terbuka dan peralatan moden.-UTUSAN






