Malaysia Oversight

WWC kemuka surat, keluarkan kategori Junior

By Utusan in November 8, 2025 – Reading time 2 minute
WWC kemuka surat, keluarkan kategori Junior


KUALA LUMPUR: Penganjur Kejohanan Dunia Warzone (WWC) 2025 telah menghantar surat rasmi kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia bagi tujuan pendaftaran dan pematuhan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

Dalam masa yang sasam, pengasas kejohanan, Yusuf Azmi sekali lagi memohon maaf secara terbuka atas kekeliruan dan salah faham yang berlaku berhubung imej serta mesej awal kejohanan tersebut sebelum ini.

Pada sidang akhbar hari ini, Yusuf mengakui bertanggungjawab sepenuhnya dan mengambil tindakan segera bagi memperbetulkan keadaan selain komited memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Kami mengakui terdapat kekurangan dalam cara komunikasi dan promosi awal kami yang telah menimbulkan persepsi negatif seolah-olah Warzone adalah satu bentuk perlawanan ganas atau tidak beretika.

“Bagi menjernihkan keadaan, ingin memaklumkan pihak penganjur telah menghantar surat rasmi kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia minggu ini untuk tujuan pendaftaran dan pematuhan
di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

“Kami juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak berkaitan dan agensi keselamatan tempatan untuk memastikan setiap aspek acara ini mematuhi semua garis panduan dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Penganjur turut menegaskan keselamatan peserta dan penonton menjadi keutamaan utama termasuk pemeriksaan kesihatan wajib bagi peserta, kehadiran pasukan paramedik di lokasi, kawalan keselamatan di pintu masuk serta pelaksanaan Protokol Sukan Selamat.

“Di kesempatan ini juga, kami ingin menjelaskan berkenaan penyertaan kanak-kanak atau peserta bawah umur dalam Warzone. Kami faham isu ini banyak diperkatakan oleh pelbagai pihak.

“Untuk makluman, WWC pada awalnya mempunyai kategori khas Junior yang tidak melibatkan
perlawanan fizikal berisiko tinggi, sebaliknya memberi tumpuan kepada aspek seni, teknik, dan disiplin bela diri.

“Penilaian berdasarkan kemahiran teknikal, disiplin dan etika sukan, bukan kemenangan dalam perlawanan. Namun, kategori ini telah dimansuhkan dalam WWC seiring dengan pekeliling baharu Kementerian Belia dan Sukan tidak membenarkan atlet di bawah 15 tahun menyertai pertandingan sukan tempur,” tambah Yusuf.

Acara WWC 2025 akan tetap berlangsung pada 6 dan 7 Disember ini bertempat di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan dengan jualan tiket kekal tersedia untuk peminat sukan tempur.-UTUSAN





Source link