Malaysia Oversight

Hampir 100 orang hilang di Syria sejak awal tahun

By Utusan in November 8, 2025 – Reading time 2 minute
Hampir 100 orang hilang di Syria sejak awal tahun


GENEVA: Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan hampir 100 orang diculik atau hilang di Syria sejak awal tahun ini, ketika laporan mengenai kes kehilangan paksa terus meningkat.

Jurucakap Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR), Thameen Al-Keetan berkata, pihaknya masih menerima laporan membimbangkan berhubung puluhan kes penculikan dan kehilangan paksa, walaupun sudah 11 bulan berlalu sejak kejatuhan terdahulu di Syria.

Menurut OHCHR, sekurang-kurangnya 97 individu direkodkan hilang atau diculik sejak Januari lalu, namun jumlah sebenar dipercayai lebih tinggi berikutan kesukaran mendapatkan maklumat yang tepat.

Al-Keetan berkata, angka terbaharu itu adalah tambahan kepada lebih 100,000 orang yang dilaporkan hilang semasa pemerintahan bekas Presiden Bashar al-Assad.

Assad digulingkan kumpulan pejuang Hayat Tahrir al-Sham tahun lalu dalam serangan selama 11 hari yang menamatkan perang saudara selama 13 tahun.

Ramai rakyat Syria kini menuntut keadilan terhadap pelanggaran hak asasi yang berlaku di bawah terdahulu, termasuk dalam sistem penjara yang terkenal dengan keadaan seperti penjara bawah tanah.

Menurut OHCHR, walaupun ada keluarga yang berjaya bersama semula dengan ahli keluarga mereka selepas kejatuhan Assad, ramai lagi masih tidak mengetahui nasib orang tersayang mereka.

Katanya, keadaan keselamatan yang tidak menentu di Syria susulan tercetus semula keganasan di kawasan pesisir dan bandar selatan Sweida menyukarkan usaha mencari serta mengesan individu hilang, kerana ada antara mereka yang takut untuk bersuara.

Al-Keetan menambah, terdapat individu yang menerima ancaman kerana bercakap dengan pihak PBB.

OHCHR turut mengemukakan kes kehilangan sukarelawan Pertahanan Awam Syria, Hamza Al-Amarin, yang dilaporkan hilang pada 16 Julai ketika membantu misi pemindahan kemanusiaan semasa keganasan di Sweida, dan menyeru agar undang-undang antarabangsa dihormati.

Mei lalu, pejabat presiden Syria mengumumkan penubuhan suruhanjaya keadilan dan orang hilang bagi menyiasat jenayah yang dilakukan sepanjang pemerintahan keluarga Assad.- AGENSI





Source link