Malaysia Oversight

‘Bubar sajalah J-Kom, tak berguna langsung’

By MkiniBM in November 8, 2025 – Reading time 2 minute
‘Bubar sajalah J-Kom, tak berguna langsung’


KONVESYEN AMANAH | Sesi perbahasan pidato presiden oleh Perwakilan Amanah Perlis menghangatkan suasana apabila pimpinan negeri itu mencadangkan agar Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dibubarkan.

Dalam perbahasan bertajuk ‘Reformasi Subsidi dan Tadbir Urus’, perwakilannya Ya’akub Abu Seman berkata, inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan tidak sampai ke pengetahuan rakyat kerana kegagalan penerangan.

“Saya melihat bahawa segala subsidi, segala bantuan yang dikeluarkan ribuan ringgit sehektar kepada petani tidak pun dapat dirasai nilainya.

“Pertama kerana kegagalan media kita, kegagalan media kementerian.

“Bahkan kita ada J-Kom, saya cadangkan kita bubar sajalah J-Kom, tak berguna langsung. Kerana J-Kom tidak membantu kita untuk menyampaikan apa-apa saja dasar ,” katanya di Shah Alam, hari ini.

J-Kom merupakan salah satu agensi di bawah Kementerian Komunikasi yang kini dipimpin Ismail Yusop sebagai ketua pengarahnya.

Sementara itu Ya’akub juga menyentuh bantuan subsidi kepada petani didakwa tidak benar-besar sampai kepada golong sasar sebaliknya hanya menguntungkan pemilik tanah.

“Kenapa rakyat tidak merasai apa-apa yang diberikan kepada mereka, subsidi-subsidi yang diberikan kerajaan tidak sampai kepada tangan petani,

“Contohnya subsidi baja dan bantuan menunggu tuai, tidak sampai kepada petani yang mengerjakan sawah kerana mereka hanya penyewa tanah dan tuan tanah saja mengambil hasil subsidi, bahkan tuan tanah yang kaya-raya mendapat hasil sewaan dan mereka menjual hasil subsidi (seperti baja) diberikan kerajaan,” katanya.

Dia turut menggesa agar pemimpin yang malas direhatkan selain tidak sekadar menjadi pak turut kepada ketua.

“Nak ubah negara bukan cukup dengan retorik Twitter (X) atau video 30 saat. Perubahan datang apabila ada keberanian menegur, bukan apabila sekadar jadi ‘yes man’ kepada ketua.

“Kalau dasar salah kita betulkan, kalau sistem lemah kita perkuatkan, kalau pemimpin malas kita rehatkan jangan tunggu lama sampai viral,” kata Ya’akub yang juga naib pengerusi Amanah Perlis.



Source link