Kereta Elektrik MG S5 EV Dijual Pada Harga Bermula RM 115,900 – Sesi Pandu Uji Di Mid Valley Sehingga 25 Mei Ini
May 20, 2025
•
Ikhwan Nazri
Acara Malaysia Auto Show yang telah melabuhkan tirainya dan pelbagai jenama telah mula melancarkan dan memulakan penjualan model-model baharu mereka. MG pada hari ini akhirnya telah mengumumkan harga rasmi kereta elektrik MG S5 EV pada harga bermula RM 115,900

Kereta Elektrik MG S5 EV ditawarkan pada 3 model iaitu COM pada harga RM 115,900, COM Long Range pada harga RM 125,900, dan LUX Long Range pasa harga RM 135,900. Apa yang membezakan ketiga-tiga model ini adalah dari segi jarak perjalanan, kapasiti bateri LFP, serta kelengkapan kereta. Model asas COM adalah model dengan kapasiti bateri 49 kWh yang menawarkan jarak perjalanan 340 KM WLTP dan mempunyai pengecasan pantas DC 120 kW.

Model COM Long Range dan LUX Long Range pula mempunyai kapasiti bateri yang sama, iaitu 62 kWh yang menawarkan jarak perjalanan 430KM WLTP, dan dibezakan menerusi LUX yang mempunyai saiz tayar lebih besar, stereng kemasan kulit, pengecas telefon nirwayar, kamera persekitaran 360 darjah, sensor kaki untuk but belakang, 6 pembesar suara dan bumbung lutcahaya.

Kesemua model yang ditawarkan mempunyai kuasa motor elektrik yang sama, iaitu 170 PS / 125 kW dengan tork maksimum 250 Nm membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat. Selain itu kelengkapan yang ada ialah panel inforia 12.8-inci dan paparan kluster 10.25-inci, fungsi keselamatan dan swapandu yang sama, beserta 7 beg udara. Turut didatangkan bersama adalah jaminan 7 tahun atau 150,000KM jarak perbatuan, jaminan bateri 8 tahun atau 180,000 KM jarak perbatuan, serta jaminan motor elektrik dan unit kawalannya selama 8 tahun atau 160,000 KM jarak perbatuan, dan kesemua jaminan ini tertakluk kepada yang mana satu dicapai dahulu. Harga yang ditawarkan ini adalah harga selepas diskaun RM 6000 untuk 500 pembeli pertama, dan mereka akan turut membawa pulang pengecas dinding 7kW.

Dengan pengumuman harga dari MG ini telah menambah penawaran dalam barisan kereta elektrik mereka, iaitu MG ZS EV, MG 5 EV, MG Cyberster dan juga terkini iaitu MG S5 EV. Anda boleh ke cawangan MG berhampiran dan mereka juga akan membuka beberapa lagi cawangan di seluruh Malaysia. Anda juga boleh hadir ke jerayawara mereka yang sedang berlangsung di Mid Valley Megamall bermula hari ini sehingga 25 Mei 2025 kerana mereka turut mengadakan sesi pandu uji.

Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.