Apa yang dahulunya tampak seperti kerjasama yang teratur kini kelihatan seperti penegasan bagi kebebasan.
Menjelang pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini, parti komponen PH, iaitu PKR, DAP dan Upko akan mengumumkan calon-calonnya secara berasingan, walaupun tetap dengan panji gabungan.
DAP Sabah akan mengumumkan calonnya hari ini, disusuli PKR esok, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.
Upko, yang merupakan parti komponen paling kecil namun dengan peranan simbolik yang penting, akan mengumumkan calonnya pada 13 November, iaitu dua hari sebelum hari penamaan calon.
Ini membayangkan PH sebagai sebuah gabungan yang tetap bersatu dalam matlamatnya, namun secara senyap bergerak mengikut rentak masing-masing.

Pihak dalam gabungan berkata ia bukanlah cerminan kepada perpecahan, tetapi penyesuaian semula, dengan setiap parti masing-masing menegaskan indentiti tempatannya sementara kekal sebagai gabungan persekutuan.
“Senarai disemak berulang kali, namun setiap parti ada rentak sendiri. Pendekatan ini beri ruang kepada semua pihak, dan ia penting dalam politik Sabah,” kata seorang sumber PKR kepada Malaysiakini.
Titik perubahan selepas perubahan pimpinan
Peralihan itu bermula pada 1 Disember 2024, apabila pemimpin Upko, Ewon Benedick dipilih sebagai pengerusi PH Sabah bagi menggantikan Christina Liew dari PKR.
Pelantikan itu, walaupun disifatkan sebagai demokratik, secara halus menandakan satu titik perubahan.
Di bawah Liew, PH Sabah sering bersuara dalam satu nada. Namun, selepas pelantikan Ewon, parti komponennya mula merangka jalan sendiri, dengan strategi masing-masing dan kenyataan secara berasingan.
Pihak dalaman PKR mengakui yang mereka melihat kepengerusian PH Sabah sebagai “secara alaminya milik mereka”, dengan mengambil kira kedudukan PKR di peringkat persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Namun, Upko melihat kebangkitan Ewon sebagai pengiktirafan sentimen “Sabah untuk orang Sabah” yang sudah lama tertangguh – peringatan bahawa kerjasama di peringkat persekutuan perlu menghormati kepimpinan di peringkat tempatan.
Walaupun mesra di permukaan, peralihan itu secara senyap menyeimbangkan semula PH Sabah kepada tiga sekutu yang berbeza, dengan masing-masing menguruskan pengaruhnya dalam gabungan kerajaan perpaduan yang lebih luas.
Amanah pula, selaku parti komponen paling kecil, kekal di pinggiran.
Senarai calon DAP
DAP Sabah akan bertanding di Tanjung Papat, Luyang, Tanjung Aru, Likas, Elopura, Kepayan dan Sri Tankong – kebanyakannya kawasan bandar dengan setiapnya signifikan secara simbolik.
Bagaimanapun, keputusannya untuk meletakkan calon di Tanjung Aru telah mengundang perhatian, memandangkan Upko turut menyasarkan kerusi itu.
Di pedalaman, DAP akan mencalonkan bekas anggota Parlimen Tenom, senator Noorita Sual di Kemabong selepas melepaskan DUN Liawan kepada Umno susulan rundingan selama berbulan-bulan. Langkah itu disifatkan oleh pihak dalam DAP sebagai strategik dan berdasarkan data.

“Ia bukan keputusan secara emosi. Noorita masih ada sokongan akar umbi yang kuat, dan angka berphak kepada Kemabong,” kata sumber DAP.
Namun cabaran yang dihadapi DAP melangkaui rundingan kerusi.
Pada 10 Disember tahun lalu, kepimpinan pusat parti itu mengarahkan DAP Sabah untuk menilai semula kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) susulan skandal perlombongan negeri itu.
Arahan itu di tengah kemarahan rakyat dan selepas pendedahan siri video yang mengaitkan pemimpin dalam kerajaan negeri.
Walaupun GRS adalah sebahagian dalam kerajaan persekutuan, kerjasama di Sabah berdasarkan aturan tempatan yang bersifat pragmatik tetapi rapuh.
DAP Sabah memutuskan untuk kekal dalam kerajaan negeri pimpinan GRS, namun menegaskan hubungan itu bergantung kepada kebertanggungjawaban dan ketelusan.
“Di peringkat persekutuan, kerjasama adalah satu keperluan. Namun di Sabah, integriti diutamakan,” kata sumber DAP.
Pembaharuan PKR dan penentangan Upko
Di dalam PKR, beberapa nama yang dicadangkan oleh kepimpinan negeri ditukar oleh kepimpinan pusat bagi memberi laluan kepada calon profesional dan generasi baru yang selari dengan usaha pembaharuan parti.
Antara nama yang berlegar adalah Ruji Ubi, seorang bekas penjawat awam, dan Hafez Yamani Musa, bekas anggota Parlimen Sipitang dan anak kepada Yang di-Pertua Sabah, Musa Aman. Hafez akan bertanding di Sidumin.

Senarai penuh calon PKR akan diumumkan malam esok. Parti itu dijangka bertanding di kerusi bandar dan separa bandar, antaranya Inanam, Kiulu dan Limbahau, di mana mungkin berlaku pertembungan dengan Upko.
“Ini bukan persaingan. Ia tentang meletakkan calon berwibawa dan menjadikan gabungan terus relevan,” kata sumber PKR.
Upko pada mulanya hanya ditawarkan kerusi DUN Kadamaian dan Moyog. Namun parti itu bertegas akan haknya untuk perwakilan yang lebih besar, dengan tema kempen “Sabah first” yang bertumpu kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak perlembagaan bagi negeri itu.
Ewon dijangka mempertahankan kerusi DUN Kadamaian, sementara parti itu dijangka turut meletakkan calon di Moyog, Limbahau, Tamparuli dan Kuamut.
Penegasan Upko antaranya tercetus daripada kekecewaan berhubung cara kerajaan persekutuan mengendalikan hak hasil 40 peratus kepada negeri itu.
Parti itu kecewa apabila para pemimpin PH teragak-agak untuk menyokong sepenuhnya semakan terhadap tahun-tahun negeri itu tidak menerima bayaran hasil yang disifatkan sebagai haknya.
Malah Ewon secara terbuka berkata akan meletakkan jawatan sebagai menteri kabinet jika kerajaan persekutuan merayu keputusan mahkamah yang berpihak kepada Sabah.
Turut menjadi kebimbangan adalah jika Upko meninggalkan gabungan di saat akhir, memberikan mereka pilhan untuk menukar sekutu politik jika tiada pemenang muktamad dalam PRN kali ini.
Upko pernah melakukannya pada PRU 2018, apabila meninggalkan BN untuk menyokong Warisan. Ia menyebabkan BN tewas dan kerajaan negeri pimpinan Warisan ditubuhkan.
Amanah pula telah mengesahkan hanya akan bertanding di Sulabayan dengan Julpikar Ab Mijan sebagai calon, dan kekal sebagai satu-satunya parti komponen PH tanpa ada pertindihan tuntutan kerusi.






