Kurang sebulan sebelum Sabah menjalani pilihan raya negeri (PRN), ahli perniagaan Albert Tei memuat naik satu video yang mengaitkan Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Robert Tawik, dengan skandal lesen perlombongan di negeri tersebut.
Video itu dimuat naik di halaman Facebook Pejuang Tun Dr Mahathir hari ini, dan didawak menunjukkan perbualan antara Tei dengan Tawik di pejabat ahli politik terbabit.
Dalam perbualan itu, kedua-duanya berbincang mengenai sejumlah wang yang didakwa telah diserahkan oleh Tei kepada Tawik.
“Aku sudah bagi Datuk (Tawik) RM300,000 — belum kira tajaan lagi,” kata Tei dalam rakaman itu sebelum dia menyemak WhatsApp dan menyebut empat transaksi antara 2 Feb dan 12 Mei 2023.
Walaupun Tei dilihat bergurau bahawa dia tidak menuntut semula wang tersebut, Tawik yang kelihatan ceria dalam rakaman itu dikatakan membalas bahawa tiada gunanya meminta semula kerana ia sudah dibelanjakan.
“Sudah habis la… (masa) Kaamatan, habis semua, duit tak boleh simpan,” kata Tawik yang juga penyandang kerusi DUN Bingkor.
Berdasarkan rakaman perbualan itu, Tawik juga disebut menamakan beberapa ahli politik lain – termasuk timbalannya, Ellron Alfred Angin, ketua menteri sementara Sabah Hajiji Noor, dan menteri kerja raya sementara, Shahelmey Yahya.
Tawik merupakan pembantu kepada Shahelmey dalam kabinet negeri. DUN Sabah ke-16 telah dibubarkan secara rasmi pada 6 Okt lalu.
Malaysiakini telah menghubungi Tawik berhubung dakwaan dalam video tersebut dan masih menunggu maklum balasnya.
Sebelum ini, Tawik adalah antara ahli politik yang turut disebut oleh satu sumber yang memberikan Malaysiakini beberapa tangkap layar didakwa diambil daripada rakaman video melibatkan enam pemimpin yang dituduh menerima rasuah.
Ketika itu, Malaysiakini turut ditunjukkan beberapa petikan pendek daripada rakaman bertarikh Jan 2024, namun tidak dibenarkan menyiarkannya semula.
Sumber itu mendakwa jumlah keseluruhan rasuah yang melibatkan enam ahli politik berkenaan mencecah RM3.96 juta.
Selain bukti video, sumber sama turut mendakwa terdapat mesej WhatsApp dan dokumen lain yang menyokong transaksi tersebut.
Sejak Nov tahun lalu lebih sedozen ahli politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) — termasuk anggota kanan kabinet negeri — telah dikaitkan dengan skandal berkenaan.
Tei dan dua wakil rakyat telah pun didakwa di mahkamah, manakala nasib tokoh-tokoh lain masih belum pasti, menyebabkan timbul dakwaan wujudnya cubaan menutup kes.
Rakyat Sabah akan mengundi pada 29 Nov, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November.






