PETALING JAYA: Jaguh renang negara, Khiew Hoe Yean mengakui cabaran getir menantinya di Sukan SEA 2025 Thailand bulan depan apabila musuh tradisi dari Vietnam dan Singapura semakin kuat dalam acara kegemarannya iaitu 200 meter (m) gaya bebas.
Namun, juara bertahan dua edisi berturut-turut di Vietnam 2021 dan Kemboja 2023 itu tetap optimis mengekalkan dominasi bagi melengkapkan hatrik emas, walaupun sedar jurang prestasi semakin mengecil di peringkat Asia Tenggara.
“Sekarang Vietnam paling laju dalam 400m gaya bebas manakala 200m pula saya nampak Vietnam dan Singapura semakin hampir, terutama atlet Singapura yang kuat dalam jarak dekat.
“Jadi harapan saya kali ini ialah masuk ke zon terbaik saya dan percaya saya masih boleh lakukan yang lebih baik berbanding 2021 di Hanoi,” kata Hoe Yean.
Hoe Yean yang kini berada di fasa terakhir persiapan berkata, fokus latihan banyak diberikan kepada aspek teknik dan jarak bagi memastikan tahap kecergasan berada di puncak ketika di Thailand nanti.
“Kami banyak beri tumpuan kepada teknik dan kelajuan jarak jauh, sebab persediaan yang sama sebelum ini terbukti berkesan, jadi sekarang kami hanya perbaiki bahagian teknikal,” katanya.
Atlet berusia 23 tahun itu sebelum ini memecahkan rekod kebangsaan 400m gaya bebas serta membantu kuartet 4x200m negara mencatat rekod baharu di Sukan Universiti Dunia (WUG) di Jerman pada Julai lalu.
Selain itu, perenang Olimpik Paris 2024 itu juga masih memburu satu impian besar iaitu untuk memadam catatan kebangsaan legenda, Welson Sim dalam 200m gaya bebas iaitu 1 minit 47.36 saat (s) yang masih belum berjaya dipecahkan sejak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
“Saya harap boleh pecahkan rekod kebangsaan lagi, walaupun baru saya cipta rekod baharu. Ianya agak mencabar, tapi itu bukan halangan saya,” katanya.
Selain 200m, Hoe Yean turut menggalas cabaran dalam acara 400m di Bangkok yang menyaksikan beliau turut meraih pingat perak dalam dua edisi berturut-turut di Vietnam 2021 dan Kemboja 2023.-UTUSAN





