Malaysia Oversight

Kelab di Colombia pertimbang tamat kontrak pemain warisan Rodrigo Holgado

By MkiniBM in November 7, 2025 – Reading time 3 minute
Kelab di Colombia pertimbang tamat kontrak pemain warisan Rodrigo Holgado


Masa depan pemain warisan Harimau Malaya, Rodrigo Julian Holgado di kelabnya, dilaporkan “ibarat telur di hujung tanduk” apabila kelan América de Cali di Colombia, dikatakan sedang mempertimbangkan untuk melepaskannya.

Perkembangan itu hadir selepas keputusan terbaru Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) yang menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap penggantungan tujuh pemain warisan — termasuk Holgado — berhubung dakwaan pemalsuan dokumen.

Perkara itu disentuh wartawan sukan dan pengulas bola sepak antarabangsa terkenal Colombia, Pipe Sierra, yang membuat liputan perpindahan pemain berprofil tinggi.

Dia telah memuat naik kenyataan di media sosial bahawa kelab tersebut, melalui pasukan perundangannya, telah memulakan prosiding untuk menamatkan kontrak dengan pemain kelahiran Argentina berkenaan.

” América de Cali melalui peguamnya, sedang memajukan proses penamatan kontrak Rodrigo Holgado (28), berikutan maklum balas daripada jawatankuasa rayuan Fifa,” kata Sierra.

Malaysiakini menghubungi Sierra yang berpangkalan di Colombia untuk mendapatkan butiran lanjut dan dimaklumkan bahawa kemas kini itu datang daripada satu sumber.

“Kontraknya masih berjalan sehingga Disember 2026, dan peguam (kelab itu) sedang berusaha menamatkan lebih awal kerana kelab itu terkesan dengan penggantungan tersebut,” kata Sierra ketika dihubungi.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan laporan itu secara bebas.

Sebelum ini portal berita Argentina menerbitkan dua pendedahan, mendakwa bahawa dua rakan sepasukan Holgado — pemain warisan Facundo Tomas Garces dan Imanol Javier Machuca — tidak mempunyai datuk atau nenek yang dilahirkan di Malaysia, seperti yang didakwa oleh pihak di Malaysia.

Capital De Noticias, pada 30 Oktober, menerbitkan dokumen yang menjejaki asal usul pemain pertahanan Harimau Malaya, Garces, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap dakwaan Malaysia bahawa kesemua tujuh pemain naturalisasi kelahiran Eropah itu mempunyai “pertalian darah Malaysia”- satu asas yang digunakan untuk mewajarkan mereka mendapat kewarganegaraan dan mewakili pasukan kebangsaan.

Portal itu menerbitkan rekod kelahiran yang menunjukkan bahawa datuk Garces, Carlos Rogelio Fernandez, bukan dilahirkan di Pulau Pinang seperti yang direkodkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebaliknya merupakan penduduk asal Santa Fe, sebuah bandar di timur laut Argentina. Satu-satunya butiran yang tepat dalam rekod JPN ialah nama dan tarikh lahir Fernandez, tetapi bukan lokasi kelahiran.

Pada 5 November, agensi itu mendedahkan satu lagi pendedahan, mendakwa bahawa pemain sayap kanan dan kiri Harimau Malaya, Machuca, juga tidak mempunyai kaitan asal usul dengan Malaysia melalui neneknya, Concepcion Agueda Alaniz.

“Menurut sijil kelahiran yang didaftarkan di Pejabat Pendaftaran Awam Wilayah Santa Fe, nenek kepada pemain tengah Velez Sarsfield itu dilahirkan di bandar Roldan.

“Perlu diingatkan bahawa pemain bola sepak itu sendiri pernah menyatakan dalam temu bual dengan saluran media peminat, Sabado Velez, bahawa hubungannya dengan Malaysia datang melalui neneknya dan hubungan ini membolehkan dia bermain untuk pasukan kebangsaan negara itu,” sorot laporan itu.

Pada 3 Nov lalu, Fifa mengekalkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain asing yang beraksi di Liga Malaysia selepas menolak rayuan berhubung kes pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa berkaitan pemalsuan dan penipuan dokumen.

Dalam kenyataan rasmi, Jawatankuasa Rayuan Fifa memutuskan untuk menolak rayuan yang dikemukakan oleh FAM serta tujuh pemain — Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano — dan mengekalkan sepenuhnya hukuman yang dijatuhkan sebelum ini oleh Jawatankuasa Tatatertib Fifa.

  • Antara hukuman yang dikekalkan ialah:

  • FAM diperintah membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) kepada Fifa.

  • Tujuh pemain terbabit dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM10,500) setiap seorang.

  • Kesemua pemain digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak di peringkat antarabangsa.



Source link