Malaysia Oversight

12 ahli lembaga dipilih mesyuarat agung pertama Majlis Media M’sia

By MkiniBM in November 7, 2025 – Reading time 2 minute
12 ahli lembaga dipilih mesyuarat agung pertama Majlis Media M'sia


Anggota Majlis Media Malaysia (MMM) hari ini memilih 12 ahli lembaganya dalam mesyuarat agung pertama badan itu di Kuala Lumpur.

Mereka terdiri daripada empat ahli bagi setiap kategori yang ditetapkan di bawah Seksyen 7(1) Akta Majlis Media Malaysia 2024. Mereka akan berkhidmat selama dua tahun.

Bekas pengerusi sementara MMM dan Pengarah Malaysiakini, Premesh Chandran, dipilih bagi kategori untuk syarikat media, bersama Farrah Naz Abd Karim dari Media Prima Bhd, Esther Ng (Star Media Group Bhd), dan Phyllis Wong (Borneo Post dan Utusan Borneo).

Enam calon bertanding di bawah kategori tersebut.

Sementara itu Mohamad Fauzi Ishak, Mariah Airens Doksil, Mohd Ishak Abdillah Ngah, dan Adie Suri Zulkefli, mendapat undi yang mencukupi bagi kategori untuk wartawan dan persatuan media.

Seramai 19 nama bertanding untuk kategori tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum, Mediha Mahmood; pegawai program Centre for Independent Journalism Cynthia Lorraine Silva; pengasas bersama Wiki Impact, Terence Ooi; dan profesor media Zaharom Nain diundi daripada 14 calon yang terdiri daripada kakitangan bukan media.

Badan pemantau pilihan raya Bersih bertindak sebagai pemerhati untuk pilihan raya tersebut.

MMM ditubuhkan untuk memudahkan operasi kawal selia kendiri industri media di negara ini. Ia terbentuk hasil lobi selama beberapa dekad oleh kumpulan masyarakat sivil bagi menggantikan undang-undang yang menindas yang digunakan untuk mengawal media.

Fungsinya termasuk mewujudkan piawaian dan kod tatalaku untuk semua pengamal media, dan mengawal selia etika dan tatalaku profesional mereka.

Ia juga boleh mengesyorkan pembaharuan kepada undang-undang berkaitan media dan mewujudkan mekanisme aduan untuk aduan terhadap ahli majlis.

Di bawah Akta Majlis Media Malaysia, lembaga majlis terdiri daripada 21 orang, tetapi hanya 12 daripada jawatan tersebut adalah dipilih.

Enam lagi anggota akan dilantik oleh ahli yang dipilih, manakala menteri komunikasi akan melantik dua ahli untuk mewakili dalam lembaga.

Lembaga juga akan melantik seorang anggota untuk sebagai pengerusi.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dilaporkan memuji mesyuarat itu dan menganggapnya sebagai detik bersejarah dalam usaha memperkukuhkan institusi media Malaysia, dan melahirkan rasa bangga dengan komposisi ahli lembaga pengarah.

“Saya nampak bukan sahaja ada rakan-rakan wartawan yang datang dari Johor tetapi juga dari Sarawak, Sabah.

“Saya sebagai seorang pemimpin wanita, saya juga rasa sangat-sangat bangga kerana antara mereka yang telah dipilih, 50 peratus adalah wanita.

“Ini menunjukkan bahawa pertama, kuasa wanita dalam industri media ini sangat kuat; dan kedua, rakan-rakan dalam industri ini sangat progresif, tak ada masalah untuk bagi peluang sama rata untuk kedua-dua jantina,” katanya dipetik Bernama.



Source link