Malaysia Oversight

2 pemimpin utama DAP Sabah atur gerak cabar Junz Wong

By MkiniBM in November 7, 2025 – Reading time 3 minute
2 pemimpin utama DAP Sabah atur gerak cabar Junz Wong


PRN SABAH | Dua pemimpin kanan DAP Sabah, Phoong Jin Zhe dan Chan Foong Hin, masing-masing dijangka bertanding di Likas dan Tanjung Aru ketika parti itu bersiap untuk mengumumkan senarai calon parti berkenaan esok.

Langkah itu dilihat sebagai strategi mereka untuk menewaskan Naib Presiden Warisan, Junz Wong, yang sebelum ini merupakan ahli DAP.

Phoong merupakan Pengerusi DAP Sabah dan kini penyandang kerusi DUN Luyang. Dia juga menjadi sebahagian daripada anggota kabinet negeri itu.

Chan pula merupakan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, timbalan menteri perladangan dan komoditi, serta Timbalan Pengerusi DAP Sabah.

Phoong telah berkhidmat dua penggal di Luyang, manakala Chan sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk tidak bertanding dalam PRN akan datang.

Namun, menurut maklumat yang diperoleh Malaysiakini, strategi dalaman DAP mendorong Phoong berpindah ke Likas, sementara Chan bersetuju bertanding untuk merampas Tanjung Aru daripada Warisan.

Kepimpinan DAP meletakkan harapan besar kepada dua tokoh berprofil tinggi terbabit dan dianggap mempunyai jentera akar umbi kukuh untuk menumbangkan Wong.

Wong sebelum ini merupakan ahli DAP dan memenangi kerusi DUN Likas pada 2013 di bawah tiket parti itu. Bagaimanapun dia menyertai Warisan pada 2016 sebelum memenangi kerusi DUN Tanjung Aru pada 2018.

Dia kemudian mempertahankan kerusi Tanjung Aru pada 2020 dengan memperoleh 60.34 peratus undi.

Jika Wong mempertahankan Tanjung Aru, dia bakal berdepan cabaran sengit daripada Chan. Tetapi jika dia kembali ke kerusi lamanya di Likas, pertembungan dengan Phoong dijangka menarik perhatian ramai.

Penguman rasmi esok

Ketika dihubungi Malaysiakini mengenai kemungkinan Chan bertanding di Tanjung Aru, Wong hanya menjawab ringkas: “Tak ada isu.”

Namun dia tidak menolak kemungkinan berpindah ke kerusi lain atas sebab strategi. Antara kerusi yang mungkin ditandinginya termasuk Api Api — kawasan yang kini diwakili oleh pemimpin , Christina Liew dan dijangka turut menyaksikan calon baru.

Phoong dan Chan ketika dihubungi berkata orang ramai perlu menunggu pengumuman rasmi esok.

Walaupun begitu, Chan dilihat semakin aktif di Tanjung Aru sejak akhir-akhir ini, seperti mengadakan beberapa program dan bertemu penduduk tempatan.

Dalam PRN Sabah pada 2020, DAP memenangi enam kerusi namun dua daripada mereka — Calvin Chong (Sri Tanjong) dan Justin Wong (Elopura) — meninggalkan parti tersebut pada Januari 2022 sebelum menyertai Warisan dua bulan kemudian.

Selepas dewan undangan negeri dibubarkan, seorang lagi wakil DAP, Frankie Poon (Tanjong Papat) keluar parti pada 11 Okt lalu.

Difahamkan DAP merancang untuk bertanding lapan kerusi dalam PRN kali ini, dengan tumpuan kepada kawasan yang pernah dimenangi sebelum berlaku lompat parti.

Jika perpindahan Phoong ke Likas disahkan, kerusinya di Luyang dijangka diserahkan kepada Ketua Pemuda DAP Sabah, Chan Loong Wei, yang juga orang kanan Phoong.

141ee3298f29ca9cdf5ecea5cd4f7c06
Vivian Wong

Sumber parti berkata Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong dijangka bertanding di Elopura, manakala Yap Wui Lip, ahli majlis perbandaran Tawau dan ahli jawatankuasa DAP negeri, bakal dicalonkan di Sri Tanjong.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Tang Szu Ching, dijangka bertanding di Tanjong Papat.

Jannie Lasimbang pula dijangka mempertahankan Kapayan, manakala di kawasan pedalaman Kemabong — yang akan ditandingi DAP buat kali pertama — akan menampilkan bekas Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual, sebagai calonnya.

Kerusi Kemabong kini dipegang oleh Naib Presiden Gagasan Rakyat Sabah, Rubin Balang, yang terpalit dakwaan skandal lesen cari gali minerl — tuduhan yang dinafikan olehnya.

Noorita pernah menewaskan Rubin di kerusi parlimen Tenom pada PRU ke-14 (2018), namun dlaam PRU berikutnya, dia dikalahkan anak Rubin, Riduan.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke akan mengumumkan senarai calon serta melancarkan jentera pilihan raya parti itu di sebuah hotel di Kota Kinabalu jam 11.30 pagi esok.

Pada Ahad pula Presiden yang juga Perdana Menteri Ibrahim dijangka mengumumkan senarai calon .

[Baca berita asal]



Source link