SAO PAULO: Lewis Hamilton menafikan khabar angin bahawa beliau bakal meninggalkan Ferrari selepas musim hambar 2025 yang menyaksikan juara dunia tujuh kali itu terus bergelut tanpa sebarang podium.
Pemandu berusia 40 tahun itu kini menghuni tangga keenam keseluruhan dengan 146 mata, ketinggalan 64 mata di belakang rakan sepasukan Charles Leclerc selepas 20 perlumbaan, sekali gus rekod terburuk Ferrari dalam sejarah.
Desas-desus mengenai masa depannya tercetus selepas Grand Prix (GP) Mexico bulan lalu apabila Hamilton dikenakan penalti 10 saat, sekali gus mencetus spekulasi beliau bakal digantikan dengan pelumba muda Britain, Oliver Bearman.
Bearman, 20, yang kini mewakili Haas dan menamatkan saingan di tempat keempat di Mexico, turut menolak dakwaan tersebut sambil menyifatkan ura-ura menggantikan Hamilton sebagai tidak realistik.
“Saya ada kontrak yang agak panjang. Biasanya bila anda buat kontrak, perbincangan semula hanya bermula setahun sebelum tamat, dan saya masih jauh lagi daripada waktu itu.
“Saya tidak risau langsung tentang masa depan kerana fokus saya kekal untuk bantu Ferrari mara ke depan dan memperbaiki prestasi pasukan,” kata Hamilton.
Musim pertamanya bersama Ferrari turut dihimpit pelbagai isu dalaman termasuk perubahan amalan kerja serta spekulasi mengenai kedudukan prinsipal pasukan, Fred Vasseur, selepas jurutera prestasinya, Riccardo Corte, meninggalkan pasukan.
Dalam masa sama, Hamilton menggesa Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) memperbetulkan prosedur penalti selepas insiden di Mexico yang menurutnya tidak konsisten dan tidak telus dalam membuat keputusan. – AGENSI






