Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menyorot cabaran besar yang dihadapi remaja masa kini — bukan lagi datang daripada “musuh bersenjata”, tetapi daripada skrin di tangan sendiri.
Dalam teks khutbah bertajuk “Akhlak Mulia Pelindung Remaja”, Jakim menegaskan bahawa media sosial kini menjadi ruang utama yang membentuk minda, nilai dan perilaku generasi muda.
Mimbar turut mengingatkan tanggungjawab mendidik akhlak tidak boleh digalas oleh sekolah semata-mata, sebaliknya menuntut penglibatan ibu bapa, guru dan seluruh masyarakat.
“Musuh akhlak tidak lagi datang dengan pedang, tetapi dengan skrin di tangan… Dalam satu hari, ribuan mesej, gambar dan video menembusi hati dan membentuk nilai mereka sebelum kita sempat menegur.
“Inilah realiti zaman kita. Dunia berubah begitu cepat, tetapi nilai sedang pudar perlahan,” katanya.
Khutbah turut menjelaskan bahawa usia remaja adalah fasa penting pembentukan identiti dan prinsip hidup, justeru bimbingan yang berasaskan kasih sayang dan hikmah perlu menjadi pendekatan utama — bukan sekadar hukuman atau kecaman.
Memetik Surah At-Tahrim ayat 6, khutbah menyeru masyarakat agar memikul tanggungjawab bersama dalam mendidik serta melindungi generasi muda daripada pengaruh hiburan melampau dan gejala sosial tanpa batas.
Antara kebimbangan utama yang dibangkitkan ialah peningkatan kes salah laku pelajar. Statistik Kementerian Pendidikan menunjukkan 7,681 kes direkodkan pada 2024, berbanding 3,883 kes pada 2022, dengan hampir 70 peratus melibatkan kes buli di sekolah menengah.
“Ini bukan sekadar masalah disiplin yang kita bimbangkan (tetapi) ialah tanda ada hati yang sedang sakit, dan iman yang sedang melemah,” menurut teks khutbah itu lagi.
Jakim menegaskan masyarakat tidak boleh hanya menuding jari kepada remaja, sebaliknya perlu menilai semula peranan ibu bapa, pendidik dan komuniti dalam membentuk persekitaran yang mencontohi akhlak Islam.
Merujuk hadis Rasulullah SAW, khutbah mengingatkan semula misi kenabian sebagai penyempurna akhlak yang mulia.
“Akhlak itu bukan sekadar sopan santun, tetapi kekuatan jiwa, keberanian menolak yang salah dan istiqamah melakukan yang benar.
“Marah bukan tanda benci, tetapi tanda sayang. Mendidik bukan menghukum, tetapi menyelamatkan. Ibu bapa, guru, dan masyarakat perlu bersatu hati membimbing anak-anak dengan kasih sayang yang berakar daripada iman.
“Jangan membiarkan dunia mendidik mereka dengan hawa nafsu, sementara kita diam tanpa tindakan.
“Akhlak itu ibarat perisai di medan tempur. Tanpa perisai, seorang tentera akan tewas walaupun senjatanya tajam. Tetapi jika akhlaknya teguh, iman akan memandunya walau di tengah gelombang dunia yang menggoda,” tegasnya.
Mimbar mengakhiri khutbah dengan pesanan bahawa remaja yang menjaga hubungan dengan Allah akan terpelihara maruah dan masa depannya.
“Akhlak yang baik dianggap perisai utama menentang godaan dunia moden, termasuk budaya hedonisme dan kelalaian digital,” katanya.






