Malaysia Oversight

Nilai jualan sektor pembuatan naik 4.3%, capai RM169.3 bilion pada September

By Utusan in November 7, 2025 – Reading time 2 minute
Nilai jualan sektor pembuatan naik 4.3%, capai RM169.3 bilion pada September


PETALING JAYA: Sektor pembuatan negara terus menunjukkan prestasi kukuh apabila nilai jualan meningkat 4.3 peratus kepada RM169.3 bilion pada September 2025 berbanding 2.7 peratus pada Ogos lalu, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu dipacu terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau yang melonjak 9.1 peratus, selain disokong oleh subsektor peralatan elektrik dan elektronik (6.4 peratus) serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam (2.7 peratus).

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan meningkat 0.6 peratus, daripada RM168.3 bilion pada Ogos kepada RM169.3 bilion pada September,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, industri berorientasikan eksport yang mewakili lebih 70 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan turut mencatat peningkatan 3.8 peratus, disokong oleh pengeluaran minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (7.8 peratus), komputer serta produk elektronik dan optikal (6.1 peratus) dan jentera serta peralatan (5.2 peratus).

Sementara itu, industri berorientasikan domestik turut berkembang 5.7 peratus, dipacu oleh pembuatan produk pemprosesan makanan (10.5 peratus), logam asas (4.8 peratus), dan produk logam kecuali mesin serta kelengkapan (4.1 peratus).

“Dalam aspek tenaga kerja, sektor pembuatan merekodkan 2.4 juta pekerja, meningkat 1.0 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Sub-sektor utama yang menyumbang kepada kenaikan itu ialah makanan, minuman dan tembakau (1.9 peratus), peralatan elektrik dan elektronik (1.4 peratus), serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam (0.9 peratus),” katanya.

Seiring dengan itu, jumlah gaji dan upah dibayar meningkat 2.0 peratus kepada RM8.4 bilion, manakala purata gaji dan upah setiap pekerja naik 1.1 peratus kepada RM3,479.

Nilai jualan setiap pekerja pula direkodkan sebanyak RM70,126, meningkat 3.3 peratus tahun ke tahun.

Bagi suku ketiga 2025, jumlah jualan sektor pembuatan mencecah RM500.1 bilion, dengan pertumbuhan 3.5 peratus, disumbangkan oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (9.2 peratus) serta elektrik dan elektronik (5.6 peratus).

Secara kumulatif dari Januari hingga September 2025, sektor itu merekodkan jualan RM1.5 trilion, meningkat 3.6 peratus berbanding tempoh sama 2024, dengan bilangan pekerja naik 1.0 peratus dan gaji serta upah meningkat 1.9 peratus kepada RM75.2 bilion. – UTUSAN





Source link