PETALING JAYA: Eksperimen ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto bagi membentuk pasangan pelapis yang mantap belum membuahkan hasil selepas semua gandingan baharu tersingkir awal di Korea Masters 2025.
Gandingan Loo Bing Kun-Noraqilah Maisarah Ramdan yang menjadi sandaran utama Nova, tewas kepada pasangan Thailand, Phuwanat Horbanluekit-Benyapa Aimsaard 17-21, 21-16, 21-11 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung selama 47 minit, semalam.
Turut menerima nasib sama ialah dua lagi pasangan percubaan, Wee Yee Hern-Vannee Gobi serta Low Han Chen-Chan Wen Tse yang masing-masing tersingkir di pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 300 itu, kelmarin.
Nova sebelum ini mengakui beliau sedang melaksanakan fasa ‘pecah ganding’ dalam kem beregu campuran negara bagi mencari gandingan paling stabil untuk membantu dua beregu utama, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.
“Ya memang, sebenarnya sebelum Kejohanan Remaja Dunia kita sudah rancang sebab saya tengok junior ini, masa depan mereka bagus,” kata Nova.
Nova memilih untuk menggandingkan Noraqilah yang muncul naib juara dunia baru-baru ini dengan Bing Kun kerana percaya kedua-duanya memiliki asas kukuh dan saling melengkapi, namun menegaskan eksperimen ini masih di peringkat awal.
“Selama ini Bing Kun sudah berpengalaman dan di latihan dia paling baik. Saya beri peluang sebab saya tengok Noraqilah baharu dan masih muda tetapi dia mempunyai bakat bagus,” ujarnya.
Jurulatih kelahiran Indonesia itu turut mendedahkan selain tiga pasangan iaitu Bing Kun-Noraqilah, Yee Hern-Vannee, dan Han Chen-Wen Tse, Cheng Su Hui bersama anak legenda badminton negara, Datuk Razid Sidek, Muhammad Fazriq Razif akan menjadi tonggak sokongan utama untuk menampung jurang antara pemain utama dan skuad pelapis.
“Mungkin untuk sementara ini tiga pasangan itu saya harap boleh mengisi jurang antara dua peringkat tertinggi,” katanya lagi.
Bagaimanapun, dengan kesemua percaturan baharu tersingkir awal di Korea Masters, jelas misi Nova mencari pasangan pelapis beregu campuran negara masih memerlukan masa dan pelbagai penyesuaian sebelum mampu mencabar di peringkat lebih tinggi.-UTUSAN






