PETALING JAYA: Hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan wajar menjadi isyarat jelas agar kesilapan dan kelemahan yang wujud dalam pentadbiran sukan itu diperbetulkan segera.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, insiden tersebut harus dijadikan pengajaran paling berharga supaya maruah bola sepak negara tidak terus tercalar di peringkat antarabangsa.
“Sudah tentu, perkara ini (hukuman FIFA ke atas FAM) harus menjadi satu ingatan pada masa akan datang dan perlu kita semua perbetulkan keadaan demi masa depan bola sepak negara,” titah baginda.
Baginda yang juga bekas Presiden FAM menegaskan, kecintaan terhadap bola sepak perlu dizahirkan melalui tindakan membina semula sistem pengurusan dan budaya kerja yang lebih telus, profesional serta bertanggungjawab.
“Kita cintakan sukan bola sepak dan perlu bangkit daripada segala kegelisahan serta masalah yang sedang melanda bola sepak tanah air.
“Setiap individu, sama ada pemain, pegawai atau pentadbir, perlu mengambil tanggungjawab memperbaiki kelemahan yang ada,” jelas baginda.
Baginda turut menekankan bahawa masa depan bola sepak negara bergantung kepada kesungguhan semua pihak memperkukuh asas tadbir urus dan integriti, selain memastikan setiap keputusan dibuat demi kepentingan sukan dan bukan individu.
Hukuman berat daripada FIFA itu dilihat sebagai ‘wake-up call’ kepada FAM, selepas badan induk dunia berkenaan menolak rayuan berhubung kes pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan negara.
Dengan keputusan tersebut, FAM bukan sahaja terpaksa menerima penggantungan 12 bulan terhadap pemain-pemain berkenaan, malah turut berdepan denda berjumlah 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta).
Kegagalan dalam proses rayuan menutup ruang pembelaan FAM di peringkat FIFA, sekali gus membuka lembaran untuk semua pihak menilai sejauh mana sistem pengurusan bola sepak negara perlu diperkukuh agar tidak lagi terpalit dengan isu sama pada masa hadapan.
FAM bagaimanapun mempunyai peluang terakhir untuk mengubah hukuman FIFA, di mana badan induk bola sepak negara itu bersedia membawa kes berkenaan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).-UTUSAN






