Malaysia Oversight

Malaysia calon tuan rumah Kejohanan Petanque Dunia Lelaki 2026

By Utusan in November 6, 2025 – Reading time 2 minute
Malaysia calon tuan rumah Kejohanan Petanque Dunia Lelaki 2026


PETALING JAYA: Sukan petanque negara bakal mencatat sejarah tersendiri apabila Malaysia ditawarkan peluang menganjurkan Kejohanan Dunia Lelaki yang dijadualkan berlangsung pada September tahun depan.

Jika perkara itu mencapai kata sepakat, bermakna Malaysia akan menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah buat kali pertama bagi kejohanan berprestij itu.

Pemangku Presiden Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF), Cheah Ban Cheng, berkata Arena Petanque Kuala Lumpur di Cheras memiliki fasiliti bertaraf antarabangsa dan memenuhi keperluan bagi penganjuran kejohanan berkenaan.

“Tahun depan akan ada Kejohanan Dunia Lelaki dan jika kita menjadi tuan rumah, ia adalah yang pertama buat Malaysia.

“Dari segi fasiliti, kita sudah bersedia. Arena ini mempunyai 32 gelanggang, sedangkan penganjur hanya memerlukan 24 gelanggang,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Kejohanan Petanque Asia 2025 di venue sama, hari ini.

Jelas Ban Cheng, MBSF perlu mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terlebih dahulu sebelum pengumuman rasmi dapat dibuat.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Boules dan Petanque Dunia (WPBF), Claude Azema menegaskan Malaysia sudah benar-benar bersedia untuk menganjurkan Kejohanan Dunia selepas dibuat penilaian.

“Saya datang untuk melihat sama ada Malaysia sudah bersedia ataupun tidak bagi menganjurkan Kejohanan Dunia. Bagi saya, ini merupakan venue yang cukup baik untuk kejohanan itu.

“Malaysia memang antara calon (tuan rumah) tetapi ia akan dibincangkan terlebih dahulu sebelum kami membuat keputusan bulan depan,” ujarnya.

Kejohanan Dunia Lelaki itu dijangka disertai 48 negara, sekali gus memberikan impak besar kepada pembangunan dan pendedahan pemain tempatan di pentas antarabangsa.-UTUSAN





Source link