Malaysia Oversight

UIA kesal lepas pensyarah dakwa Rom belajar buat kapal dari Melayu

By MkiniBM in November 6, 2025 – Reading time 2 minute
UIA kesal lepas pensyarah dakwa Rom belajar buat kapal dari Melayu


Universiti Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini tampil menyatakan rasa kesal susulan kenyataan “mengelirukan” oleh seorang ahli akademik universiti itu.

UIAM menegaskan bahawa kenyataan ahli akademik berkenaan adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi universiti berkenaan.

Meski tidak menamakan ahli akademik yang dimaksudkan, kenyataan UIAM itu hadir susulan satu lagi kontroversi melibatkan Pensyarah UIAM Prof Solehah Yaacob, yang mendakwa orang Rom belajar membuat kapal daripada orang Melayu.

“Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, UIAM sentiasa mendukung prinsip kebebasan akademik yang membolehkan para sarjana berkongsi pandangan, menjalankan penyelidikan dan menyumbang kepada wacana ilmiah.

“Namun, UIAM juga menekankan bahawa setiap kenyataan awam hendaklah dibuat dengan penuh tanggungjawab, berpaksikan ketepatan ilmiah serta selaras dengan kepiawaian bidang,” kata universiti itu.

UIAM juga berkata ia sedang meneliti kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh ahli akademik tersebut secara dalaman mengikut tatacara sedia ada dan tindakan sewajarnya akan diambil.

Universiti itu menegaskan komitmen untuk terus memastikan integriti dan kualiti pendidikan serta kesarjanaan dalam kalangan ahli akademik terpelihara.

“UIAM percaya bahawa tanggungjawab besar ahli akademik adalah untuk mendidik masyarakat dengan ilmu yang autentik dan berfakta,” katanya.

d192947f040118b736b25c436a1796b0

UIAM juga berkata ia telah memberi teguran kepada ahli akademik itu sebelum ini untuk lebih bertanggungjawab ketika memberi pandangan atas hal-hal akademik.

Terdahulu tular video rakaman ceramah Solehah yang mendakwa orang Rom belajar membuat kapal daripada orang Melayu.

Dakwaan pensyarah bahasa Arab itu mengundang kecaman dan kritikan, termasuk daripada Persatuan Kakitangan Akademik (ASA) yang menggesa UIAM mengambil tindakan segera dan sewajarnya.

ASA menyifatkan kenyataan ahli akademik itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menjejaskan reputasi serta nama baik universiti.

Tahun lepas Solehah turut mencetuskan kontroversi selepas berkongsi pandangan yang mengaitkan isteri Nabi Muhammad, Siti Khadijah Khuwailid, berkemungkinan berasal dari alam Melayu.



Source link