Malaysia Oversight

Pahang catat kutipan hasil RM1b empat tahun berturut-turut

By MkiniBM in November 6, 2025 – Reading time 2 minute
Pahang catat kutipan hasil RM1b empat tahun berturut-turut


Pahang berjaya mencapai sasaran kutipan hasil RM1 bilion untuk tahun ini sekali gus menjadikannya pencapaian tahun keempat berturut-turut.

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata pencapaian itu membuktikan kecekapan pentadbiran serta komitmen tinggi penjawat awam dan pembayar cukai menjayakan agenda pembangunan negeri.

“Pagi tadi saya dimaklumkan oleh pegawai kewangan negeri bahawa hasil negeri mencapai RM996 juta, tetapi pada petang ini saya boleh mengesahkan kita telah berjaya mencapai sasaran kutipan hasil RM1 bilion untuk tahun ini,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Visit Malaysia 2026-Pahang First di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad Shah di Kuantan hari ini.

Wan Rosdy berkata kejayaan itu juga membolehkan mengembalikan lebihan hasil kepada rakyat, seperti bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri sebanyak sebulan gaji.

“Sasaran asal hasil negeri ialah RM1 bilion, namun saya telah memberi cabaran, sekiranya kita berjaya mencapai RM1.6 bilion, kerajaan negeri akan menambah bantuan khas kewangan kepada penjawat awam,” katanya.

Mengenai majlis hari ini, Wan Rosdy berkata Pahang terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam sektor pelancongan apabila menerima lebih 11 juta pelancong setakat Sept lalu.

Katanya kerajaan negeri turut menyasarkan sebanyak 13.74 juta pelancong pada tahun hadapan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Insya-Allah, sasaran ini dapat dicapai kerana kita telah merancang, berusaha dan melaksanakan promosi Visit Malaysia-Pahang First pada tahun ini dan kita juga membuat beberapa persediaan awal untuk menggalakkan lebih ramai pelancong datang ke Pahang, sama ada domestik atau antarabangsa.

“Antara negara penyumbang utama pelancong asing ke Pahang ialah Indonesia, Singapura, dan negara-negara Eropah,” katanya.

Dia berkata sasaran itu dijangka memberi limpahan ekonomi kepada pemain industri sektor pelancongan dengan perbelanjaan pelancong dianggar mencecah RM13.4 bilion.

Bernama



Source link