Malaysia Oversight

Anisimova mara ke separuh akhir Final WTA

By Utusan in November 6, 2025 – Reading time 2 minute
Anisimova mara ke separuh akhir Final WTA


RIYADH: Amanda Anisimova melakukan kebangkitan luar biasa untuk menewaskan Iga Swiatek 6-7 (3/7), 6-4, 6-2 semalam, sekali gus menempah tempat ke separuh akhir Final  WTA di Riyadh.

Melakukan penampilan sulung dalam kejohanan berprestij itu minggu ini, Anisimova menamatkan saingan Kumpulan Serena Williams di tempat kedua di belakang Elena Rybakina.

Rybakina melengkapkan aksi peringkat kumpulan dengan rekod sempurna 3-0, selepas menewaskan pemain gantian dari Rusia, Ekaterina Alexandrova, 6-4, 6-4, lebih awal pada hari sama.

Kemenangan dramatik ke atas Iga itu menyaksikan Anisimova memperbaiki rekod tiga setnya musim ini kepada 15-3, sekali gus mencatat kemenangan ke-10 menentang pemain kelompok 10 terbaik dunia tahun ini.

“Lucu sebenarnya, ibu saya selalu cakap ‘Kamu tahu tak kamu dah menang banyak perlawanan tiga set tahun ni? Kamu memang hebat’. Saya terfikir juga mengenainya. Lawan Iga hari ini memang sangat sukar.

“Tetapi terus terang saya sangat menikmatinya. Saya sangat teruja dapat ke separuh akhir. Ini sesuatu yang luar biasa, terutama untuk kali pertama saya beraksi di sini,” kata Anisimova 

Sebelum ini, kedua-dua pemain pernah bertemu dua kali iaitu Iga menang dalam final Wimbledon, manakala Anisimova membalas dendam dengan menewaskan lawannya itu di suku akhir Terbuka Amerika Syarikat.

Pemain berusia 24 tahun dari Poland itu dilihat gagal menyembunyikan rasa kecewanya terhadap kekalahan kali ini.

“Saya pun tak pasti kenapa saya tak dapat mara ke separuh akhir,” kata Swiatek yang jelas kecewa. – AGENSI





Source link