Kerajaan akan mempertimbangkan pandangan supaya Malaysia menjadi pengantara dalam usaha perdamaian di Sudan, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.
Beliau berkata perkara itu perlu dibincangkan secara terperinci kerana konflik di negara berkenaan turut menjejaskan kepentingan Malaysia.
“Ini juga menjadi keutamaan kita untuk melihat negara itu kembali aman. Kita punya kepentingan (pelaburan) yang begitu besar di Sudan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad berkata Malaysia sememangnya berpengalaman dalam mendamaikan beberapa konflik termasuk menjadi fasilitator untuk rundingan damai antara Thailand dan Kemboja pada Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini.
Terdahulu, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) ketika sesi perbahasan bertanyakan adakah Malaysia akan menggunakan kedudukan dan hubungan baik dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk memimpin inisiatif keamanan bagi Sudan.
Media juga melaporkan Duta Besar Sudan ke Malaysia Hassan Abdelsalam Omer berkata Sudan menyanjung Malaysia sebagai rakan kepercayaan dan suara utama dalam memperjuangkan keamanan sejagat.
Sementara itu, Mohamad berkata kerajaan Malaysia telah menyalurkan RM74 juta bantuan kemanusiaan kepada Palestin menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini juga mengumumkan tambahan bantuan RM100 juta lagi sebagai usaha berterusan Malaysia bagi tujuan kemanusiaan dan pembangunan semula Gaza.
Persidangan bersambung Isnin.
– Bernama






